LANGKAWI – Hampir kesemua penumpang feri mengalami pening dan muntah selain ada yang mengalami kesukaran untuk bernafas apabila pengangkutan itu terpaksa belayar dalam keadaan ombak tinggi dan hujan lebat pada petang kelmarin.
Menurut penumpang feri, Rizham Ibni, 41, dari Sungai Petani, dekat sini, dia menaiki feri dari Terminal Feri Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi pada pukul 4 petang.
“Selepas kira-kira 30 minit feri belayar, laut bergelora dan ombak tinggi sehingga mengakibatkan feri yang memuatkan ratusan penumpang bergoyang dengan sangat kuat.
“Keadaan itu saya jadi pening dan terus muntah akibat mabuk laut sehingga rasa sukar untuk bernafas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, ramai penumpang lain yang turut muntah di dalam feri kerana tidak tahan dengan keadaan feri yang dipukul ombak.
“Ini merupakan kali pertama saya berdepan cuaca seburuk itu dan tidak lagi akan menaiki feri ketika cuaca buruk,” ujarnya yang bersyukur selamat tiba di Terminal Feri Kuala Kedah dengan selamat.
Sementara itu, seorang penumpang feri berasingan yang mahu dikenali sebagai Asmah, 58, berkata, feri dinaikinya terpaksa berpatah balik ke Terminal Feri Penumpang Kuah akibat cuaca buruk.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang yang mana feri dilambung ombak kuat dalam keadaan hujan lebat.
“Kebanyakan penumpang ketakutan dengan anak-anak kecil menangis selain ramai juga yang muntah,” katanya.
Kelmarin sebuah feri yang membawa 472 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah berpatah balik ekoran cuaca buruk.