TEHRAN – Legenda Iran, Ali Daei amat berbangga sekiranya dapat menyaksikan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo memintas rekodnya sebagai pemain dengan jumlah jaringan terbanyak di peringkat antarabangsa iaitu 109 gol.
Ronaldo, 35, muncul satu-satunya pemain yang paling relevan memandangkan pemenang lima Ballon d’Or itu ketika ini sudah menjaringkan 102 gol antarabangsa, kurang tujuh gol sahaja lagi untuk menyamai rekod tersebut.
“Saya sendiri akan mengucapkan tahniah kepada Ronaldo. Walaupun masih memerlukan tujuh gol tetapi saya percaya Ronaldo mampu memadam rekod itu,” kata Daei yang bersara daripada pentas antarabangsa pada 2006.
Hasrat Ronaldo untuk mengurangkan jumlah tersebut tidak kesampaian apabila gagal mencetak nama sebagai salah seorang penjaring Portugal dalam kemenangan 3-2 ke atas Croatia pada aksi Liga Negara-Negara Eropah awal pagi semalam.
Tiga gol skuad juara Eropah itu dijaringkan dua menerusi Ruben Dias dan satu daripada Joao Felix sekali gus menyaksikan Ronaldo terpaksa menunggu sehingga tahun depan untuk mengharungi perlawanan antarabangsa seterusnya bersama Portugal.
Peluang penyerang prolifik Juventus itu untuk memadam rekod tersebut lebih cerah pada Kejohanan Euro yang akan berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai tahun depan.
“Tiada sesiapa akan cuba membantu Ronaldo. Dia dan pemain-pemain yang lain berusaha sendiri jika mahu menjaringkan gol.
“Malah, Ronaldo sendiri tidak mahu kalau ada rakan sepasukan yang berpeluang untuk menjaringkan gol tetapi menghantar bola kepadanya untuk melakukan penyudah,” kata ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos. – AGENSI