MENAMPAL motif tertentu pada seluar denim polos bukanlah satu trend baharu, namun gaya tersebut masih kekal relevan sehingga kini memandangkan ia mampu menyerlahkan gaya peribadi seseorang.
Malah, menampal atau menjahit motif-motif tertentu juga memberikan satu gaya unik pada sehelai pakaian, sekali gus menjadikan pemakainya tampil lain daripada yang lain serta lebih ekspresif.
Trend tersebut baru-baru ini dilihat menjadi pilihan untuk digayakan sebagai gaya harian yang ranggi, khususnya dalam kalangan anak muda.
Bagi seorang penyanyi dan juga pelakon baharu, Kodija Kamarul Baharin, 22, menampal patch pada sehelai denim polos merupakan gaya yang cukup sinonim dengan dirinya, memandangkan dia amat menggemari keunikan yang ditonjolkan bagi gaya tersebut.
“Saya sememangnya amat menggemari gaya denim apabila keluar kerana denim mudah dipadankan dengan apa sahaja pakaian sama ada kemeja-T mahupun blaus. Malah, denim juga cukup sesuai untuk dipadankan dengan busana denim lain bagi gaya denim on denim.
“Denim dengan perincian tampalan atau patch berbagai corak pula bagi saya cukup menarik kerana ia menyerlahkan lagi gaya peribadi seseorang,” katanya kepada Stailo.
Kodija berkata, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, dia banyak menghabiskan masa dengan menampal sendiri seluar denim miliknya dengan motif-motif tertentu.
“Memandangkan kita semua banyak menghabiskan masa di rumah, maka saya mengambil peluang itu untuk membeli pelekat pakaian yang dijual secara online dan menampalnya sendiri di atas denim-denim saya.
“Walaupun hasilnya tidak seperti jean yang dibeli di pasaran, namun saya berpuas hati kerana ia dihasilkan sendiri, menjadikan ia cukup peribadi buat saya,” kongsinya.
Sehingga kini, Kodija mempunyai tiga helai seluar denim jenis tampalan yang digayakan sebagai pakaian harian.
Kongsinya lagi, berbanding menampal motif atau corak pada helaian denim, dia lebih gemar mencetuskan gaya ranggi pada koleksi denim miliknya dengan tampalan berbentuk perkataan.
“Saya secara peribadinya lebih sukakan tampalan berbentuk perkataan berbanding motif.
“Bagi saya, perkataan nampak lebih comel, fun dan lebih sesuai dengan diri saya,” katanya.
Bercakap tentang jenama denim pilihan, Kodija berkata dia cukup menyukai koleksi denim daripada Levi’s kerana ia menawarkan pelbagai rekaan dan potongan yang menarik.
Malah, koleksi denim baharu Levis’ bersama kumpulan k-pop New Jeans yang dilancarkan bersempena ulang tahun ke-150 bagi siri jean Levi’s 501 bagi jenama itu membolehkan orang ramai untuk mengekspresikan gaya denim yang tersendiri.
“Saya lebih sukakan potongan denim yang longgar dan agak baggy.
“Bagi saya, koleksi baharu daripada Levi’s cukup sesuai dengan jiwa saya memandangkan ia memberikan saya ruang untuk mengekspresikan gaya tersendiri.
“Saya boleh mengubah suai seluar denim pilihan dengan menampal motif yang disukai serta meletakkan aksesori pada bahagian belakang seluar denim pilihan,” katanya.