LONDON – Lagenda tinju dunia, Mike Tyson mengakui dia tidak akan mengulangi taktik kejinya menggigit telinga Evander Holyfield sekiranya mereka berdua ditemukan sekali lagi di gelanggang tinju.
Tahun 1997 menjadi salah satu tahun yang penuh bersejarah khususnya bagi penggemar tinju apabila Tyson telah menggigit telinga lawannya, Holyfield sehingga putus pada perlawanan kedua mereka.
Pada perlawanan pertama, Holyfield menewaskan Tyson di pusingan ke-11 menerusi keputusan TKO, manakala pada aksi kedua, Holyfield dinobatkan sebagai juara selepas perlawanan dibatalkan ekoran tindakan ganas Tyson itu.
“Saya tidak akan mengulangi tindakan tersebut tetapi jika Holyfield cuba bermain kotor dengan taktik sama, saya tidak teragak-agak untuk mengigitnya sekali lagi.
“Jika pertarungan ini dapat diadakan, ia pasti sangat menarik. Saya akan menggunakan kelebihan yang masih ada untuk bertemunya yang saya anggap sebagai antara petarung heavyweight terhebat di dunia.
“Ini adalah peluang untuk saya menebus kegagalan sebelum ini dan pastinya ia akan menjadi satu pertarungan epik untuk peminat sukan tinju.
“Jika orang ramai mahukan perlawanan ini menjadi kenyataan, saya sedia melakukannya tetapi saya mahu perlawanan ini menawarkan takhta kejuaraan,” katanya.
Tyson bakal membuat kemunculan semula selepas 15 tahun bersara dengan menentang Roy Jones Jr. dalam pertarungan lapan pusingan di di Staples Center, Los Angeles, pada 28 November ini.
Bekas juara heavyweight dunia tersebut bersara pada 2005 dan mengumumkan mengenai kemunculan semula dalam pertarungan tersebut baru-baru ini selepas melakukan persiapan rapi. – AGENSI