MOSCOW – Kerajaan melancarkan skim baharu bertujuan untuk meningkatkan kadar kelahiran di Russia berikutan kebimbangan mengenai situasi demografi negara berkenaan, lapor akhbar Daily Star semalam.
Akhbar Moskovskij Komsomolets melaporkan, skim itu dilancarkan pada 1 September lalu ketika pegawai-pegawai kerajaan bimbang penduduk Russia semakin ‘pupus’ akibat kemerosotan kadar kelahiran.
Data pada 2020 menunjukkan kadar kelahiran di Russia adalah 1.5 anak bagi setiap wanita iaitu di tangga ke-190 dunia.
Ia merupakan kejatuhan 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya dan jauh di bawah kadar purata dunia 2.27 anak bagi seorang wanita.
Skim baharu itu memberi tumpuan kepada beberapa kawasan paling bermasalah iaitu Novgorod, Penza dan Tambov, semuanya merekodkan kadar kelahiran paling buruk di Russia.
Tiada butiran lanjut mengenai cara skim itu akan dilaksanakan.
Menurut Pengerusi Majlis Penyeliaan Institut Demografi, Migrasi dan Pembangunan Wilayah, Yuri Krupnov, memandangkan tiada pemahaman umum mengenai demografi dalam kalangan masyarakat, tidak jelas bagaimana skim itu akan dilaksanakan.
“Walaupun projek perintis adalah maklumat agak sulit, tiada cadangan untuk melaksanakan skim tersebut. Saya masih belum dapat membayangkan insentif yang akan ditawarkan oleh kerajaan kepada wilayah-wilayah terbabit,” katanya.
Populasi semasa Russia adalah 143 juta orang, dan data tersebut dikeluarkan sebelum perang tercetus.
Krupnov meramalkan angka itu akan berkurang sehingga separuh dalam masa 70 tahun lagi jika tiada perubahan berlaku. – AGENSI