KUALA LUMPUR – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) terus komited dalam mempromosikan amalan pengurusan sisa bertanggungjawab dan menanam budaya kelestarian menerusi program Cyber Eco Hunt 2023 yang berlangsung pada 22 September lalu.
Bertemakan ‘Ke Arah Bandar Lestari’, acara tahunan syarikat buat kali ketiga itu diadakan di Bukit Bintang, di sini.
Ia melibatkan penyertaan 27 individu, termasuk 26 Key Opinion Leaders (KOL) terdiri daripada pempengaruh, penulis blog dan selebriti terkenal, Ikhram Juhari yang merupakan pelakon filem Malbatt: Misi Bakara.
Keunikan program kali ini ialah kesemua peserta perlu mencipta kandungan (content) ketika menyelesaikan lima tugasan berlainan yang menyentuh aspek-aspek penting dalam pengurusan sisa bertanggungjawab.
Antara tugasan yang diberi meliputi cabaran sisa eko, cabaran sampah terbang sifar, cabaran longkang bebas sisa, cabaran pembersihan sampah dan cabaran ikrar siber eko.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd. Zain Hassan berkata, program Cyber Eco Hunt 2023 merupakan sebuah platform dinamik untuk memupuk komitmen kolektif dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, pendekatan inovatif acara itu dalam menangani masalah kebersihan di sesebuah kawasan diyakini dapat memberi sumbangan besar ke arah masa depan yang lebih hijau dan bersih.
“Cyber Eco Hunt 2023 mempunyai beberapa objektif penting iaitu menyampaikan mesej kepada warga kota yang sememangnya menjadi penjana sisa pepejal. Kalau kita lihat di Kuala Lumpur anggaran 2,300 tan metrik sampah dihasilkan sehari.
“Ia bukanlah sekadar mengenai penjagaan alam sekitar, perkara yang tidak kurang pentingnya ialah pemahaman tentang apa sebenarnya yang terkandung dalam sisa pepejal, yang mana kebanyakannya sebenarnya boleh dikitar semula.
“Kami juga ingin memberitahu berkenaan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan Alam Flora dengan memanfaatkan platform media sosial pempengaruh, penulis blog dan selebriti bagi memberi pendedahan kepada orang ramai,” katanya pada sidang akhbar Cyber Eco Hunt 2023 di Elephant Republic, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd. Zain berkata, program kesedaran dan pendidikan tentang amalan-amalan yang sederhana menerusi Cyber Eco Hunt 2023 mampu membentuk masa depan bandar yang lebih terjamin.
Dengan jumlah keseluruhan pengikut media sosial peserta yang dianggarkan berjumlah 1.4 juta, Mohd. Zain berharap ia dapat memberi kesan dan membuka mata orang ramai.
“Ini merupakan salah satu program yang kami buat setiap tahun kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat yang kurang faham mengenai pengurusan sisa secara bertanggungjawab.
“Saya harap kesemua peserta terlibat mempunyai pemahaman baharu menerusi program ini dan akan memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat demi kelestarian alam sekitar dan masa depan anak cucu kita,” ujarnya.
Mohd. Zain menambah, pihaknya akan meneruskan usaha melalui program-program di peringkat sekolah dalam mendidik masyarakat.
Sementara itu, Ikhram berkata, program Cyber Eco Hunt 2023 merupakan inisiatif terbaik untuk memupuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan komuniti terhadap alam sekitar.
“Manfaat program ini antaranya meningkatkan kesedaran dalam diri. Sebab kalau kita tengok rata-rata sekarang ramai orang buang sampah sesuka hati.
“Sebagai contoh, sampah terbang yang dibuang individu di unit atas rumah bertingkat, perkara itu pernah terjadi kepada keluarga saya.
“Jadi, saya menyeru rakan-rakan selebriti yang lain untuk sertai program seperti ini pada masa hadapan bagi memupuk semangat menjaga kebersihan bumi kita,” jelasnya.
Bagi pempengaruh media sosial, Mak Kiah Ferry atau nama sebenarnya Fatin Farhana, 32, dia beroleh pelbagai input baharu menerusi program berkenaan.
“Bagi saya, banyak benda yang saya tak tahu seperti pam longkang tersumbat yang dipenuhi dengan sampah. Kasihan hero-hero (petugas Alam Flora) kerana ia bukan satu tugas mudah untuk membersihkannya.
“Selain itu, antara perkara yang saya paling suka adalah amalan kitar semula kerana sebagai suri rumah, banyak yang kita boleh lakukan dengan menggunakan bahan terpakai seperti kotak,” ujarnya.
Cyber Eco Hunt 2023 merupakan sebahagian daripada tonggak perniagaan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), dalam memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan penyelesaian yang berdedikasi.
Ia selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) nombor 11 untuk menjadikan bandar dan pemukiman manusia inklusif, selamat, tahan lasak dan lestari.