fbpx

Dewan Negara: 240 pemberi rasuah telah dituduh sejak 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seramai 240 pemberi rasuah telah dituduh di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dari 2019 sehingga hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata, daripada jumlah itu, seramai 29 pemberi rasuah dituduh di bawah Seksyen 16 (b) manakala 211 di bawah Seksyen 17 (b) akta tersebut.

“Daripada jumlah pertuduhan atau sabitan yang dibuat, 86 individu pemberi rasuah didapati bersalah mengikut peruntukan kedua-dua seksyen itu,” katanya ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Parlimen, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan kelaziman kes yang direkodkan, hanya satu pihak antara pemberi atau penerima rasuah yang dikenakan hukuman kerana tiada pihak ketiga yang tampil memberi bukti dan keterangan di atas kesalahan pihak terlibat.

“Jika ada mana-mana pihak atau orang ketiga yang boleh kemukakan bukti dan keterangan yang mencukupi, maka di sisi undang-undang, kedua-dua pemberi atau penerima mahupun orang perantaraan boleh didakwa di mahkamah.

“Kerajaan sedang mengkaji dan meneliti keperluan menubuhkan Suruhanjaya Undang-undang atau Law Reform Commission bagi memastikan keberkesanan proses penyemakan dan pembaharuan undang-undang,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan penubuhan suruhanjaya itu kelak, usaha mengkaji dan menyemak semula undang-undang sedia ada serta yang lapuk boleh dilaksanakan secepat mungkin, selaras usaha kerajaan memastikan perundangan negara kekal relevan.

“Kementerian mengambil maklum cadangan supaya kerajaan menggubal Akta Anti-Diskriminasi namun, menegaskan ia perlu terlebih dahulu dikaji secara mendalam dengan mengambil kira aspek sensitiviti dan keperluan semasa masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI