MACHANG – Salah seorang suspek yang maut ditembak selepas melarikan diri semasa dikejar sebuah kereta peronda (MPV) polis di Labok di sini hari ini dipercayai baru lepas menyembelih seekor lembu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, suspek berusia 33 tahun bersama rakannya 43 tahun didapati terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di Kampong Joh, Labok di sini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan lanjut mendapati, terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi tersebut.
Menurutnya, MPV bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam bahawa terdapat sebuah kereta jenis Toyota Vios berada dalam keadaan mencurigakan di Kampung Joh di sini.
“Anggota polis kemudiann terserempak dengan kereta dinaiki kedua-dua suspek, namun pemandunya bertindak memecut laju melalui jalan Machang ke arah Kota Bharu.
“Polis memberikan arahan melalui pembesar suara agar kereta tersebut berhenti sehingga berlaku pelanggaran beberapa kali antara kereta mereka dan MPV polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali memberitahu, keadaan itu menyebabkan kereta dinaiki kedua-dua suspek terbabas ke bahagian kanan jalan di Kampung Labok.
Menurutnya, semasa anggota MPV turun untuk membuat pemeriksaan, suspek yang memandu kereta terbabit telah keluar sebelum menyerang anggota polis dengan memegang senjata tajam.
“Anggota polis telah memberikan amaran dan terpaksa bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaki suspek untuk mempertahankan diri.
“Suspek kemudiannya bertindak meluru masuk ke bahagian pemandu MPV polis dan melarikan kereta tersebut ke arah Kota Bharu,” ujarnya.
Menurutnya, MPV polis yang dilarikan oleh suspek bagaimanapun dijumpai berhenti di tepi jalan di kawasan Pulai Chondong di sini kira-kira empat kilometer dari lokasi keretanya terbabas.
“Pemeriksaan di dalam MPV polis kemudiannya menemui suspek sudah meninggal dunia di bahagian kerusi pemandu kereta terbabit.
“Siasatan mendapati, suspek berusia 33 tahun dan berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu selain mempunyai beberapa rekod jenayah,” ujarnya.
Mohd. Ali memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang di sini untuk di bedah siasat.
Tambahnya, seorang lagi suspek berusia 43 tahun yang berasal dari Kubang Kerian, Kota Bharu turut berjaya ditahan di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan terhadap kereta yang suspek naiki menjumpai peralatan mencuri lembu iaitu beberapa utas tali, picagari yang mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau, pengasah dan dokumen pengenalan diri milik seorang lelaki dari Sungai Besar, Selangor,” ujarnya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,Seksyen 379 Kanun Keseksaan (mencuri), Seksyen 379A Kanun Keseksaan (mencuri kenderaan bermotor), Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE