PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhak mengambil tindakan terhadap mana-mana organisasi media yang melaporkan mengenai berita palsu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, apa sahaja tindakan yang dilakukan pihak MCMC adalah berlandaskan peraturan dan undang-undang.
“Mereka (MCMC) tidak merujuk segala-galanya kepada saya sebelum mereka mengambil sebarang tindakan. Malah, ada kalanya ia adalah siasatan bersama dengan pihak polis susulan aduan awam yang mereka terima.
“Saya perlu mendapatkan beberapa taklimat daripada MCMC sebelum saya boleh mengulas sepenuhnya.Tetapi saya menghormati pandangan wartawan sama ada wartawan veteran mahupun wartawan muda. Bagi saya, semua wartawan penting,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Malaysia Digital Expo 2023 (MDX2023) hari ini.
Terdahulu, semalam sekumpulan wartawan veteran, ketua pengarang berita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan media telah mengeluarkan satu kenyataan bersama berkenaan tindakan MCMC ke atas beberapa portal berita.
Antaranya membabitkan sebuah portal berita tempatan yang diarahkan untuk menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berlaku adil dalam menilai tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh MCMC dan katanya kebebasan media adalah sesuatu yang sangat penting bagi kerajaan.
“Pada masa sama, memastikan fakta tepat juga sangat penting. Dan terdapat beberapa aduan awam yang dipanjangkan kepada saya.
“Kerana itulah saya dan Timbalan Menteri percaya, Majlis Media Malaysia akan menjadi jalan yang sangat baik untuk mengurangkan dan membincangkan serta menyelesaikan isu berkaitan industri media.
“Jadi, kita harap pada tahun depan, kita boleh bentang ke Parlimen dan meluluskan undang-undang supaya organisasi media boleh ada (Majlis Media Malaysia),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.