KUALA LUMPUR – “Calon mewakili parti, jadi sebagai ahli mesti sokong calon daripada parti kita, siapa dia itu tidak penting.”
Itu respons bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas tentang krisis yang melibatkan pencalonan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai apabila Pemuda UMNO Bentong, Haslihelmy memutuskan untuk bertanding atas tiket bebas.
Ismail Sabri berkata, apa yang penting adalah individu yang mewakili parti kerana maruah parti bengantung kepada mereka yang dicalonkan.
“Yang penting mereka mewakili parti dan kalau calon tu kalah bukan dia sahaja (kalah), tapi keseluruhan parti.
“Imej kita jelas tercalar begitu teruk waktu Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, kita kalah di banyak tempat.
“Sekarang kita perlu menang khususnya di Pahang yang merupakan kubu kuat UMNO satu ketika dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) 2023, hari ini di sini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amirzar Abu Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Pelangai.
Namun Sabtu lalu, Haslihelmy dilaporkan dipecat serta-merta keahliannya daripada UMNO selepas memutuskan bertanding sebagai calon Bebas. – KOSMO! ONLINE