fbpx

Belum mesyuarat lagi calon sesuai PRK DUN Jepak – Alexander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander berucap pada majlis penyerahan Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan Institut Urologi dan Nefrologi (Blok B) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) masih belum mengadakan mesyuarat bagi menentukan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak lagi.

Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, beberapa calon yang sesuai akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti ketika mesyuarat yang akan diadakan dalam terdekat.

“Ada beberapa calon sesuai akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti. Tetapi calonnya masih belum ada lagi, PBB masih belum bermesyuarat lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan di Hospital Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Bertanyakan tentang kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan dalam tempoh berkempen bagi PRK akan datang, Ahli Parlimen Kapit itu berkata, beliau berharap sokongan wajar dapat ditunjukkan untuk membantu PBB mempertahankan kerusi Jepak.

“Tidak menjadi masalah untuk berganding bahu dengan Kerajaan Perpaduan sebab sepertimana yang dinyatakan tadi kita (Kerajaan Perpaduan) sudah bersama walaupun di peringkat persekutuan. Untuk persefahaman kita, saya harap akan juga di tunjukkan di PRK negeri nanti.

“Secara demokrasi mereka (Kerajaan Perpaduan) boleh pergi juga sertai berkempen. Kerana kempen dibuat secara terbuka, tiada siapa boleh melarang.

“Kalau kita mengamalkan semangat setia kawan kita dalam satu Kerajaan Perpaduan, mungkin PBB boleh mengharapkan supaya kerusi Jepak yang sebelum ini milik PBB tidak diganggu,” katanya.

Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Jepak, Sarawak pada 4 Nov depan.

Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 21 Oktober dan 31 Oktober.

PRK DUN Jepak perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI