fbpx

Demi Fanna, Syafie Naswip ‘buang’ 27kg lemak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIE NASWIP

PETALING JAYA – Pelakon Syafie Naswip sanggup menurunkan berat badan hampir 27 kilogram (kg) dalam tempoh dua bulan bagi menjayakan watak ahli kongsi gelap dalam filem aksi romantis Fanna yang ditayangkan pada 28 September ini.

Katanya, misi yang dibantu jurulatih senaman berpengalaman, selain mengikuti rejim pengambilan makanan sihat membolehkannya kembali ke angka 51kg  berbanding berat asal iaitu 78kg.

“Sebelum Fanna saya terbabit dalam sebuah produksi yang memerlukan saya berbadan besar, tetapi selepas itu saya macam seronok pula menikmati makanan sampai cecah 78kg.

“Apabila pengarah Andy Weng meminta saya buat badan untuk watak gangster bernama Shafik, tuntutan ini jadi ‘wakeup call’ untuk saya amalkan semula gaya hidup sihat.

“Tapi buang lebihan lemak melebihi 20 kg dalam tempoh dua bulan bukan senang, jadi saya dapatkan bantuan profesional untuk misi tersebut selain jaga makan dan tak ambil air manis.

“Alhamdulillah, berkat disiplin dan sokongan orang sekeliling saya dapat capai sasaran walaupun berdepan banyak dugaan,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem terbitan Jaguar Lim Films & Productions tersebut, baru-baru ini.

Naskhah berlatarkan dunia gangsterisme yang juga edaran MIG itu turut menggandingkannya dengan aktres Fify Azmi sebagai tunjang utama.

Filem yang berlatarkan percintaan antaranya dengan gadis pesakit kanser bernama Fanna itu sarat babak pergelutan serta aksi, sekali gus memerlukan stamina tinggi.

“Memang saya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum masuk set kerana banyak adegan pertarungan, menggunakan senjata api dan terjatuh dari tempat tinggi.

“Boleh dikatakan 40 peratus aksi lasak saya lakukan sendiri, namun kesannya tetap ada apabila badan saya lebam selain berdepan kecederaan ringan. Mujur kecil saja luka,” tambahnya.

Sementara itu, mengenai proses penyembuhan susulan pembedahan apendiks awal bulan ini, katanya kesan luka sudah semakin sembuh.

“Sebenarnya lima hari selepas pembedahan saya ‘terbang’ ke Sarawak bagi menjalani penggambaran sebuah filem.

“Pengarah faham situasi saya, malah cuma minta saya buat dulu babak mudah yang tidak memerlukan banyak pergerakan,” kongsi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 dan ke-25 itu lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI