KUALA LUMPUR – Dianggarkan sejumlah RM355,384,847 dipercayai hasil aktiviti haram disita dan dibekukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Daripada jumlah itu, pecahan sebanyak RM106,048,673 aset dibekukan manakala RM249,336,174 lagi disita.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lebih 50 peratus kes direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) saban tahun merupakan penipuan dalam talian.
“Dari aspek pembanterasan, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, sebanyak 14,046 operasi serta serbuan dibuat dan berjaya menahan 15,786 individu melibatkan pelbagai kesalahan jenayah komersial.
“Bagi tempoh sama, JSJK juga berjaya memperoleh sejumlah 9,898 pertuduhan,” kata beliau ketika ucapan Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Jelas beliau, usaha pencegahan jenayah yang berkesan memerlukan penglibatan aktif oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya dimaklumkan JSJK telah melaksanakan sejumlah 8,863 program pencegahan jenayah di seluruh negara sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.
“Apa yang jelas, penglibatan langsung masyarakat adalah dituntut, agar mereka lebih peka dan memahami akan perlakuan jenayah yang berlaku di sekeliling mereka,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ayob turut menggesa JSJK lebih bersedia agar berupaya mendepani cabaran teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Menurut beliau, ruang siber yang terbuka memberikan cabaran kepada PDRM untuk meneroka strategi dan kaedah terkini bagi menanganinya.
“Dalam usaha mengekang dan membanteras jenayah komersil, JSJK terus kekal komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah dirancang melibatkan siasatan, risikan, operasi dan kempen-kempen pencegahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.