BALIK PULAU – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Daniel Gooi menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar lokasi kemalangan membabitkan sebuah van persiaran yang terjatuh dari cerun bukit berketinggian enam meter di Bukit Genting, malam tadi.
Katanya, ini sebagai tanda penghormatan kepada kesemua mangsa terlibat termasuk keluarga penumpang warga Singapura yang maut dalam kejadian tersebut.
“Perkara utama pada masa ini adalah untuk membantu mereka dalam pemulihan daripada kemalangan tersebut, doa kami ditujukan kepada mangsa serta keluarga dan rakan mereka.
“Orang ramai turut digesa supaya tidak menyebarkan gambar lokasi kemalangan sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang terlibat,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, pengurusan Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Balik Pulau telah diarahkan untuk memudahkan dan membantu mereka yang terlibat dalam nahas tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, identiti mangsa yang maut dalam kemalangan itu belum diperolehi berikutan tiada dokumen pengenalan diri pada mangsa.
“Tidak ada lagi (maklumat mangsa), tiada dokumen diri pada si mati. Punca kejadian belum diperoleh lagi, hanya akuan lisan sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seramai 11 mangsa terdiri 10 pelancong Singapura termasuk seorang pemandu van persiaran warga tempatan terlibat dalam kemalangan ketika turun dari Bukit Genting, pada pukul 8.14 malam tadi. – KOSMO! ONLINE