fbpx

Operasi SAR remaja dikhuatiri lemas hadapi cabaran cuaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota SAR berhadapan cabaran cuaca dengan hujan turun di lokasi pencarian mangsa di Pantai Teluk Senangin di Lumut hari ini.

LUMUT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Senangin sejak semalam, Muhammad Fahmi Hafizi Mohd. Fadzli, 19, berdepan cabaran hari ini ekoran faktor cuaca.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, operasi hari ini sedikit mencabar ekoran ombak yang agak besar selain hujan masih berterusan di kawasan operasi.

“Pasukan SAR dipecahkan kepada beberapa sektor dan operasi pencarian merangkumi sehingga 4.16 batu nautika ataupun 7.4 kilometer (km),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, JBPM mencari mangsa antara 1 hingga 2 batu nautika bermula dari Tanjung Hantu hingga ke dalam kawasan pantai manakala Angkatan Pertahanan Awam (APM) mencari di bawah 1 batu nautika (bermula dari Tanjung Hantu hingga ke dalam kawasan pantai).

Sementara itu, katanya, kawasan pencarian mangsa dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah 2 batu nautika ke atas (bermula dari Tanjung Hantu hingga ke dalam kawasan pantai) dan Pasukan Polis Marin (PPM) pula 3 batu nautika ke atas sebelah kiri bermula dari kawasan benteng.

“Kekuatan pasukan SAR adalah seramai 34 anggota iaitu 14 dari JBPM, enam dari Polis Diraja Malaysia, tujuh masing-masing dari APM dan APMM,” katanya.

Media semalam melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas setelah ditarik oleh ombak ketika mandi bersama ahli keluarga serta rakan-rakannya di Pantai Teluk Senangin.

Bapa mangsa, Mohd. Fadzli Saad, 51, berkata, mangsa disedari lemas oleh salah seorang ahli keluarganya yang berada di tepi pantai namun ombak kuat menyebabkan remaja tersebut hilang dari pandangan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI