SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut manakala dua lagi terselamat selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang di Jalan Star Vanue, Taman Tangling Indah, Bukit Mertajam di sini, pagi tadi.
Mangsa disahkan mati di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kereta jenis Honda City manakala dua lagi dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.06 pagi dan operasi menyelamat mangsa melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati dua mangsa berketurunan India terlebih dahulu keluar dengan sendirinya manakala seorang lagi masih terperangkap di dalam kereta.
“Kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit telah dilakukan dan berjaya dikeluarkan pada pukul 5.15 pagi tadi.
“Dua mangsa yang terselamat telah dihantar oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans pihak Kementerian Kesihatan (KKM) ke hospital manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis,” katanya di sini, sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE