fbpx

Kebenaran sementara guna pelekat perubahan harga beras putih import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang memaparkan penggunaan pelekat sementara bagi harga baharu BPI.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memutuskan memberi kebenaran sementara bagi menggunakan pelekat perubahan harga baharu pada kampit beras putih import (BPI) yang dipamerkan untuk jualan.

KPKM dalam satu kenyataan berkata, kebenaran sementara itu hanya diberikan sehingga 30 November 2023.

“Selepas tamat tempoh tersebut, pemborong hendaklah mengampitkan BPI di dalam kampit beras baharu yang mencatatkan perubahan harga yang terkini untuk dipasarkan ke peringkat peruncit.

“Keputusan itu (kebenaran sementara) dicapai dalam sesi libat urus KPKM bersama pemain industri beras pada 13 September 2023 ekoran pelarasan harga BPI oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pada 1 September 2023,” katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Katanya, perkara itu diputuskan secara bersama dengan mengambil kira tempoh masa dan kos diperlukan oleh pihak pemborong beras untuk menggantikan kampit beras lama kepada kampit beras baharu.

“Untuk rekod, keputusan itu telah dimaklumkan kepada semua pemegang Lesen Borong Beras dan Lesen Runcit Beras termasuk pihak pasar raya (hypermart) melalui surat edaran oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras bertarikh 13 September 2023.

“Surat itu juga telah disalinkan kepada Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” jelasnya.

Katanya, KPKM juga mengingatkan semua pemegang Lesen Borong Beras dan Lesen Runcit Beras untuk mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan peraturan- peraturan yang dibuat di bawahnya.

Terdahulu, tular di laman media sosial berkenaan isu pelekat harga baharu runcit pada kampit beras putih import di mana peniaga melekatkan harga baharu susulan kenaikan bahan makanan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI