JOHOR BAHRU – Dua lelaki ditahan polis pagi tadi ekoran insiden rusuhan semasa program Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua individu berusia 50 dan 30 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang tular di media sosial berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya mengesan rakaman video berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.15 pagi tadi.
“Polis Johor telah membuka kertas siasatan dan sedang mengenalpasti individu-individu yang terlibat dalam kejadian rusuhan itu. Setakat ini, kita sudah tahan dua lelaki tempatan, masing-masing di Kota Tinggi dan Johor Bahru bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah akibat berlakunya salah faham antara dua kumpulan berbeza antara peserta tempatan dan antarabangsa.
“Seorang daripada suspek yang ditahan cedera dan menerima empat jahitan di kepala akibat insiden berkenaan. Selain itu juga masih mengesan beberapa lagi individu yang turut terlibat,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Kamarul Zaman, rusuhan itu dipercayai berlaku akibat provokasi dan cabar-mencabar antara kedua-dua pihak sehingga berlaku pergaduhan fizikal yang turut melibatkan balingan kerusi kayu dan plastik.
“Acara ini telah mendapat sambutan masyarakat khususnya penunggang motosikal yang masuk ke kawasan berkenaan bagi mengikuti pelbagai aktiviti yang telah disediakan penganjur.
“Bagaimanapun, berlaku salah faham antara satu kumpulan dengan kumpulan lain. Pihak terbabit adalah kumpulan penunggang motosikal tempatan dan juga kumpulan penunggang motosikal dari Amerika Syarikat (USA),” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, kejadian yang berlaku pada pukul 9 malam semalam itu bagaimanapun berjaya dikawal seramai kira-kira 350 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada program berkenaan.
“Polis berjaya menyuraikan semua peserta dan menghalang insiden lebih teruk berlaku,” ujarnya sambil memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun dan kedua-dua suspek akan direman.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak berasa bimbang dengan kejadian yang berlaku.
“Siasatan akan dibuat secara telus tanpa sebarang kompromi mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Ng Han Shoong di talian 016-5488810 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.
Hari ini tular beberapa rakaman video termasuk yang berdurasi seminit 16 saat memaparkan sekumpulan individu merusuh termasuk dengan membaling objek seperti kerusi di antara perserta.
Selain itu, turut tular video berdurasi 4 minit 25 saat memaparkan kejadian pada sebelah petang membabitkan pergaduhan mulut sebelum beberapa anggota polis dilihat berjaya mengawal pergaduhan mulut yang berlaku. – KOSMO! ONLINE