fbpx

Pendekatan Dr. Zaliha dikagumi, reputasi KKM sentiasa dihormati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. ZALIHA (dua dari kanan) beramah mesra dengan delegasi luar selepas Persidangan Peringkat Antarabangsa GACOPA di Putrajaya pada Jun lalu.

PELANTIKAN Dr. Zaliha Mustafa sebagai Menteri Kesihatan sebaik Kerajaan Perpaduan dibentuk pada penghujung tahun lalu telah melakar sejarah baharu sebagai wanita pertama yang menerajui Kementerian Kesihatan (KKM).

Pelantikan Ahli Parlimen Sekijang itu merupakan satu penghormatan dan kepercayaan kepada kaum wanita memandangkan sepanjang 67 tahun kementerian berkenaan diwujudkan, ia hanya dipimpin menteri lelaki.

Ironinya, Dr. Zaliha bukanlah asing dalam pentadiran kerajaan memandangkan beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Malah, pengalaman beliau sebagai pegawai perubatan juga memberi kelebihan dalam menyusun atur dan merancang strategi untuk merealisasikan misi dan visi Kementerian Kesihatan.

Untuk rekod, sebelum mema­suki bidang politik, beliau memulakan kerjaya dalam bidang perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebagai doktor siswazah pada 1989.

DR. ZALIHA (tengah) diberikan penerangan ketika melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Healthcare Facility Management Conference and Exhibition 2023 di Putrajaya pada Ogos lalu.

Dr. Zaliha kemudian menjadi doktor perubatan di Hospital Pekan pada 1990 dan Hospital Tai­ping pada 1991 sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993.

Justeru, sebaik melangkahkan kaki ke kementerian berkenaan pada Disember tahun lalu, beliau tidak menunggu lama untuk me­rangka inisiatif dan pendekatan progresif bagi meningkatkan sektor penjagaan dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Antara yang ditekankan pada awal kepimpinan beliau termasuklah agenda Kertas Putih Kesihatan iaitu dokumen pelan reformasi kesihatan negara yang menggariskan cabaran utama dihadapi oleh sistem kesihatan.

Menerusi Kertas Putih Kesihatan, ia turut mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian bagi memastikan sistem kesihatan yang lebih berkualiti, mampan dan berdaya tahan, malah ia dibangunkan dengan mengambil kira input pelbagai pemegang taruh terma­suk rakyat bagi memastikan ianya bersifat holistik dan inklusif.

Bagaimanapun, sebagai seorang menteri dan ahli politik, Dr. Zaliha tidak lari daripada menerima kritikan pihak luar.

Namun, beliau kekal tenang berdepan kritikan, sehingga­kan pendekatan berhemah dan profesional yang Dr. Zaliha tampilkan menerima respon positif daripada pemegang-pemegang taruh termasuk oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM).

“Beliau mengambil pendekatan keibu-ibuan dan beliau sa­ngat tenang. Saya sendiri kagum bagaimana beliau begitu tenang menghadapi kritikan. KKM bukan kementerian senang lebih-lebih lagi ramai ahli profesional tidak segan menyuarakan kritikan.

“Sebelum ini pun, Menteri Kesihatan jika hendak melaksanakan polisi, membatalkan polisi atau menyatakan sesuatu, akan ada kritikan-kritikan.

“Justeru, saya kagum dengan sifatnya yang penyabar dan tenang menghadapi kritikan. Saya melihat kritikan melalui pemegang taruh perubatan kesihatan secara terus dan keras, tapi beliau kekal tenang,” kata Presiden IMAM, Dr. Muhammad Yusri Musa.

PRESIDEN IMAM, DR. MUHAMMAD YUSRI

Berhubung Skim Perubatan Madani yang diperkenalkan kerajaan, Dr. Muhammad Yusri turut memuji pelaksanaannya yang telah memberi manfaat kepada golongan B40.

“Kita sedia maklum kesesakan di fasiliti kerajaan, jadi rangkaian klinik swasta yang terlibat dalam skim ini memberi situasi ‘menang-menang’ kepada KKM untuk mengurangkan kesesakan, manakala pengamal perubatan swasta pula menjalankan perkhidmatan kepada pesakit.

“Bagi pesakit, mereka mempunyai pilihan akses yang banyak sama ada pergi ke fasiliti kesihatan KKM atau ke klinik swasta tanpa beratur panjang serta percuma melalui Skim Perubatan Madani,” katanya.

Dr. Muhammad Yusri turut menyentuh usaha-usaha lain yang dilaksanakan Dr. Zaliha termasuk menaik taraf fasiliti KKM memandangkan kemudahan itu sudah wujud sekian lama serta perlu dinaik taraf dengan teknologi terkini.

“Kita akui fasiliti ini perlu dinaik taraf dari semasa ke semasa, tapi keutamaan ia di mana? Sebab kita mempunyai hospital besar dan kecil selain klinik kesihatan termasuk di luar bandar yang mungkin daif.

“Dr. Zaliha sangat fokus, malah beliau meluangkan masa melihat sendiri ke lapangan bagi melakukan penilaian. Kita tahu dana terhad, jadi ia harus dimanfaatkan mengikut keutamaan. Berhubung isu-isu berkaitan perjawatan petugas kesihatan, beliau berpendapat ia akan mengambil masa, namun secara berkala terdapat iklan permohonan untuk pelantikan pegawai.

“Dr. Zaliha mengambil inisiatif tepat mengenai kerangka utama yang perlu diberi tumpuan. Beliau sangat terbuka dalam mengadakan sesi pertemuan pelbagai pihak sektor kesihatan di kementerian serta kementerian lain.

“Ini termasuk pertemuan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perubatan, hospital swasta, malah IMAM sendiri pernah bertemu beliau,” katanya.

PRESIDEN MNU, NOR HAYATI

Sikap terbuka Dr. Zaliha itu turut diakui oleh Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Nor Hayati Abd. Rashid apabila pelbagai siri pertemuan dan perbincangan dilaksanakan sejak beliau menerajui KKM.

“Beliau sendiri bertemu pelbagai pihak, malah pertemuan turut diadakan bersama persatuan berkaitan. Bukan itu sahaja, Dr. Zaliha juga bersedia mengadakan pertemuan-pertemuan dengan barisan kepim­pinan KKM hinggalah pekerja.

“Sebab itu kita tidak ba­nyak membawakan isu-isu terus kepada pihak media kerana KKM sendiri mempunyai saluran penyelesaian untuk berbincang.

“Kalau tidak berjaya diatasi sepenuhnya pun, ia tetap diatasi. Dr. Zaliha seorang yang terbuka dan sedia mendengar perkara-perkara yang disampaikan daripada pelbagai lapisan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan, Dr. Nur Islam Naziri berkata, beliau menyambut baik usaha KKM berhubung pemberian vaksin Pneumococcal secara percuma memandangkan jangkitan tersebut sering berlaku melibatkan kanak-kanak.

“Langkah ini dapat membantu perlindungan kesihatan kepada anak-anak dan ia memang baik kerana dahulu kita tidak ada vaksin ini. Sekarang ia sudah ada dengan peruntukan kerajaan.

“Penyakit ini sering dilaporkan, bahkan boleh menyebabkan komplikasi teruk kepada anak-anak. Jadi pemberian vaksin ini dapat melindungi mereka serta golongan berisiko,” katanya.

Beliau yang berkhidmat di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang turut memuji Skim Perubatan Madani kerana bukan sahaja dapat membantu golongan B40 dan mereka yang tidak berkemampuan, malah mengurangkan ke­sesakan di fasiliti KKM.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, agenda pendigitalan penjagaan kesihatan negara secara keseluruhan menjelang 2030 yang dibawa oleh Dr. Zaliha mampu merealisasikan usaha kerajaan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

PRESIDEN APHM, DR. KULJIT

Katanya, ini termasuklah menerusi kerjasama dan komunikasi dalam sistem penjagaan kesihatan melibatkan hospital awam dan swasta.

“Pesakit yang mendapatkan penjagaan kesihatan swasta kini boleh mendapatkan akses lebih baik dan kemasukan awal dapat dilaksanakan dengan katil tersedia.

“Ia dapat mengurangkan tekanan dihadapi pihak hospital swasta akibat kesesakan yang berterusan yang berlaku,” katanya.

Dr. Kuljit berkata, pihaknya juga menyambut baik Kerjasama Awam-Swasta (PPP) yang diper­kenal Dr. Zaliha selaras dengan Kertas Putih Kesihatan dan prinsip ekonomi Madani.

Katanya, APHM turut menyambut baik pengecualian jururawat asing dari­pada mendapatkan asas pra-kelayakan pekerja yang diputuskan KKM baru-baru ini.

Sementara itu, kepimpinan Dr. Zaliha dalam menerajui kepimpinannya turut mendapat sokongan penuh oleh Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan (Mapsu) terhadap hala tuju KKM.

Presiden Mapsu, Ajulahin Japin berkata, Dr. Zaliha menekankan konsultansi dan sesi libat urus berterusan dengan warga KKM khususnya kumpulan pelaksana.

“Isu-isu kebajikan sentiasa diberi keutamaan pihak kementerian selain bersedia mendengar sembarangan cadangan daripada pihak kesatuan untuk menghasilkan ­usaha sama selaras dengan aplikasi rakyat.

“Hubungan harmonis di antara majikan dan pekerja amat penting untuk membuahkan satu sistem penyampaian yang efisien dan berkualiti,” katanya.

PRESIDEN MAPSU, AJULAHIN JAPIN

Bukan itu sahaja, beliau berkata, pihak kesatuan mengalu-alukan kesediaan pihak KKM untuk turun padang bersama pihak pekerja di peringkat bawahan.

Ujarnya, Mapsu mewakili hampir 80,000 warga KKM meliputi 22 kesatuan sekerja di bawah kementerian itu menyambut baik komitmen menteri dan barisan pengurusan KKM dalam memberikan perhatian kepada semua skim-skim perkhidmatan di bawah kementerian itu.

Bagi Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr. Muralitharan Paramasua pula, saranan Dr. Zaliha agar pihaknya terus mempertingkatkan pemantauan dan perguatkuasaan undang-undang berkaitan peralatan perubatan sentiasa dipegang dalam memastikan sistem kesihatan kita sentiasa selamat.

Malah katanya, pihak MDA juga sentiasa fokus untuk memastikan peralatan kesihatan yang ada di negara ini melalui proses pendaftaran yang profesional.

“MDA akan memainkan pe­ranan untuk pastikan apa saja yang berkaitan perkhidmatan kesihatan itu adalah selamat, berkualiti dan ada ketepatan.

“Jika dahulu tempoh bagi pro­ses pendaftaran ini antara 30 hingga 90 hari mengikut kelas. Bagi kelas A mengambil masa 30 hari, manakala kelas B, C dan D antara 60 hingga 90 hari,” katanya.

KETUA EKSEKUTIF MDA, DR. MURALITHARAN

Jelasnya lagi, MDA juga sentiasa menyokong usaha kerajaan memastikan Kertas Putih Kesihatan yang diperjuangkan Dr. Zaliha dapat direalisasikan dalam usaha mereformasi sistem kesihatan.

Secara keseluruhannya, pendekatan yang diperkenalkan Dr. Zaliha dalam mereformasikan kesihatan negara termasuk menerusi Kertas Putih Kesihatan adalah selari dengan prinsip Ekonomi

Madani yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penekanan utama adalah demi kesejahteraan rakyat.

Ia juga menjadi bukti kepada kewibawaan sebenar Dr. Zaliha sebagai pemimpin wanita pertama yang menerajui KKM dalam usaha mereali­sasikan matlamat kementerian dalam menyediakan kemudahan kesihatan yang saksama, mudah diperoleh dan berkualiti. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI