MANILA – Pihak berkuasa Filipina melancarkan siasatan terhadap seorang pegawai keselamatan wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila setelah dia ditangkap kerana menelan wang tunai berjumlah AS$300 (RM1,407).
Laman berita Wion News melaporkan, wang tersebut sebelum itu dicuri daripada seorang penumpang China.
Insiden mengejutkan itu terbongkar apabila rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pegawai berkenaan menggunakan sapu tangan bagi menyembunyikan perbuatan tersebut sebelum minum air dari botol untuk menghapuskan bukti.
Jarinya turut menolak wang itu agar ia masuk lebih jauh ke dalam mulutnya.
Berikutan tersebarnya rakaman video itu, Pejabat Keselamatan Pengangkutan (OTS) menyiarkan kenyataan rasmi di halaman Facebook dan mengesahkan bahawa identiti pegawai keselamatan tersebut telah dipastikan, manakala usaha untuk mengumpulkan bukti telah pun dijalankan.
Pegawai keselamatan terbabit telah digantung tugasnya, manakala pihak berkuasa sedang mempertimbangkan untuk membuka kes pentadbiran terhadapnya, sekali gus menunjukkan dia mungkin dikenakan tindakan tatatertib.
Terdapat juga pertimbangan untuk meneruskan pertuduhan jenayah terhadap pegawai berkenaan. – AGENSI