Budaya makan di luar yang diamalkan segelintir rakyat khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar perlu dilihat secara menyeluruh dan tidaklah seburuk seperti yang disangka.
Ia kerana, amalan tersebut dipengaruhi pelbagai faktor seperti kos barangan dan saiz keluarga menyebabkan makan di rumah disifatkan kurang relevan dan boleh mendorong kepada pembaziran.
Bagi penulis sendiri, ketiadaan masa dan penat selepas bekerja juga menjadi punca utama ramai kenalan memilih untuk makan di luar kerana bekerja berdasarkan syif.
Pakar Ekonomi, Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, bagi mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai keluarga kecil, memasak di rumah akan lebih tertumpu kepada waktu hujung minggu berbanding hari biasa.
“Antara faktor yang mempengaruhi amalan makan di luar ini adalah kebanyakan yang hidup di bandar merupakan keluarga nukleus, yang mana kedua-dua ibu bapa bekerja dan tidak mempunyai banyak masa untuk bersama ahli keluarga.
“Masak pun guna masa dan jika anak masih kecil, keluarga hanya akan memasak pada waktu pagi untuk hari biasa dan akan makan di luar untuk makan tengah hari dan malam,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mohammad Noorizzuddin berkata, selain kos barangan yang semakin tinggi, memasak di rumah juga boleh mendorong kepada pembaziran kerana sukar dikawal.
“Bagi keluarga kecil, kadangkala makanan yang dimasak di rumah tidak habis dimakan dan ia tidak boleh disimpan terlalu lama.
“Jika simpan pun, takkan kita nak makan menu yang sama hampir setiap hari dan akan menyebabkan pembaziran.
“Sebagai contoh, jika kita beli barangan basah segar seperti sayuran, ayam atau ikan, kita kena masak banyak, namun paling banyak pun kita boleh makan berapa (ketul) sahaja.
“Jadi, dari sudut ekonomi, kos memasak ketika ini adalah lebih tinggi daripada makan di luar dan akan merugikan individu tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, aspek budaya pemakanan di negara ini terutama di bandar seperti kedai 24 jam juga memberikan alternatif selain restoran makanan segera sekiranya mereka memilih untuk makan di luar.
“Jika kita lihat budaya pemakanan di Asia, memang 24 jam makan di luar berbanding negara maju yang mana kedai dan restoran akan ditutup pada pukul 5 hingga 6 petang.
“Namun sekarang, keluarga dapat berjimat jika makan di luar kerana banyak kedai makan termasuk tapak food truck dan pasar malam yang menawarkan harga yang berpatutan,” ujarnya.
Justeru, kata Mohammad Noorizzuddin, amalan pemakan di luar sebenarnya dapat membantu kitaran ekonomi, selain menjimatkan pendapatan keluarga.
“Saya tak nafikan, memasak di rumah boleh menjimatkan wang bagi keluarga yang besar dan matang, namun ia tidak menyebelahi individu bujang dan keluarga kecil.
“Selain itu, jika dilihat dari sudut positif, makan di luar ini mewujudkan kitaran ekonomi yang sihat dan membolehkan peniaga meneruskan kelangsungan hidup.
“Jika kita lihat, banyak kedai makan terpaksa ditutup selepas pasca pandemik Covid-19 dan perkara ini berlarutan sehingga hari ini. Jadi, makan di luar ini sedikit sebanyak dapat membantu para peniaga,” ujarnya.