RABAT, MAGHRIBI – Gempa bumi yang melanda Maghribi pada 8 September lalu merosakkan sebanyak 2,930 kampung di Pergunungan Tinggi Atlas dengan jumlah penduduk yang terjejas mencecah 2.8 juta orang, lapor saluran berita Channel News Asia kelmarin.
Menteri Perwakilan yang bertanggungjawab bagi belanjawan, Faouzi Lekjaa berkata, sekurang-kurangnya 59,674 rumah rosak, di mana 32 peratus daripadanya runtuh sepenuhnya.
Beliau semasa pembentangan di Parlimen Jumaat lalu berkata, gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter itu membunuh lebih 2,900 orang dengan kebanyakannya berada di kawasan pergunungan yang sukar diakses.
“Kerajaan akan menawarkan sebanyak 2,500 dirham (RM1,141) sebulan dalam tempoh setahun sebagai bantuan kepada isi rumah yang terjejas dengan gempa bumi.
“Ia adalah sebagai tambahan kepada pampasan 140,000 dirham (RM63,942) yang dibayar untuk rumah musnah sepenuhnya, dan 80,000 dirham (RM36,538) bagi rumah yang sebahagian rosak,” katanya.
Tambah Faouzi, pembinaan semula pula harus menghormati ciri-ciri seni bina asal rumah di kawasan pergunungan Atlas Tinggi.
Secara keseluruhannya, kerajaan Maghribi merancang untuk membelanjakan 120 bilion dirham (RM54.80 bilion) untuk rancangan pembinaan semula pasca gempa bumi yang merangkumi peningkatan infrastruktur dalam tempoh lima tahun akan datang, demikian menurut kenyataan Istana Diraja Rabu lalu.
Gempa bumi tersebut adalah yang paling dahsyat berlaku di Maghribi sejak 1960, sehingga memusnahkan banyak perkampungan yang mana sebahagian besar rumah didirikan menggunakan bata lumpur tradisional, batu dan rumah kayu kasar.
Kawasan yang dilanda gempa tersebut adalah antara yang termiskin di Maghribi dengan kebanyakannya merupakan kampung terpencil serta tidak mempunyai jalan raya dan perkhidmatan awam yang sempurna. – AGENSI