TALLAHASSEE, FLORIDA – Seorang lelaki di Florida terkejut apabila melihat seekor aligator sepanjang 4.3 meter sedang membawa mayat manusia di dalam mulutnya, lapor akhbar Metro UK semalam.
Pasukan kecemasan dikejarkan ke bandar Largo berhampiran Tampa sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) kelmarin.
Seorang penduduk, JaMarcus Bullard berkata, dia sedang memancing ikan di sebuah tasik di kawasan kejiranan itu apabila melihat reptilia tersebut.
“Saya melihat ia membawa badan manusia di dalam mulutnya. Saya terus menghubungi bomba dan mereka mengesahkan bahawa ia membawa mayat manusia,” katanya.
Anggota bomba terpaksa bergelut dengan aligator itu untuk mengumpan ia keluar dari air supaya mayat dapat dikeluarkan.
Reptilia itu kemudian ditembak mati di hadapan sebuah sekolah dan Kelab Lelaki dan Wanita.
Pejabat Syerif Daerah Pinellas kemudian mengesahkan bahawa haiwan berkenaan dibunuh secara berperikemanusiaan.
Bedah siasat akan dijalankan tidak lama lagi bagi mengenal pasti punca kejadian. – Agensi