SEBERANG PERAI – Peraturan berhubung dua saksi perlu ditempatkan ketika pelajar dikenakan hukuman disiplin sememangnya sudah termaktub dalam garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menterinya, Fadhlina Sidek walau bagaimanapun berkata, pematuhan garis panduan itu amat diperlukan bagi menjamin ekosistem selamat buat guru, pelajar dan seluruh warga institusi pendidikan.
“Sebenarnya memang dua saksi diperlukan dan ada garis panduannya, namun apa yang kita nak sekarang ialah semua pihak untuk patuhi garis panduan tersebut.
“Semalam, kita dah luncurkan dua garis panduan penting iaitu garis panduan penting berkaitan pengurusan kes buli dan juga gangguan seksual
“Jadi, kita sentiasa akan pertegaskan semula garis panduan terbabit dan kita mahu pastikan semua pihak mematuhinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow yang mencadangkan pihak sekolah menetapkan peraturan sekurang-kurangnya dua guru perlu ditempatkan ketika mana-mana murid dikenakan hukuman atas kesalahannya di sekolah.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, ketika mengulas berhubung insiden kebakaran Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Kandu di Bukit Mertajam di sini, Fadhlina berkata, Jabatan Pendidikan Negeri mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan sesi pembelajaran pelajar berjalan walaupun sekolah memerlukan masa untuk membaiki bangunan yang terjejas.
“Kita sudah turun ke lokasi dan lihat keadaan sekolah tersebut dan pihak bomba meminta sedikit masa untuk siapkan laporan forensik dan lain-lain.
“Bagaimanapun, soal pendidikan anak-anak ini perlu diteruskan dalam apa cara sekali pun dan itu merupakan komitmen utama kita,” katanya. -KOSMO! ONLINE.