PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Perak dan Sabah bermula Jumaat ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang terlibat di ialah di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C, Ipoh serta dua buah kampung iaitu Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon di Kota Belud, Sabah.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di empat lokaliti ini selama 14 hari bermula 20 November 2020 sehingga 3 Disember 2020.
“PKPD di dua lokaliti di Ipoh akan melibatkan seramai 2,288 penduduk dan 572 buah rumah makala di Kota Belud, sejumlah 1,740 penduduk di kedua-dua lokaliti ini terlibat,” katanya menerusi FB Live hari ini.
Dalam pada itu Ismail Sabri memaklumkan, sidang khas hari ini turut bersetuju melanjutkan PKPD yang dilaksanakan di dua lokaliti di Pulau Pinang dan tiga lokaliti di Sandakan selama 14 hari lagi bermula 19 November 2020 sehingga 2 Disember 2020.
“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang bermula 22 Oktober 2020 sehingga 4 November 2020 yang kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga 18 November 2020 (hari ini).
“Bagaimanapun, atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang selama 14 hari lagi bermula 19 November 2020 sehingga 2 Disember 2020.
Sementara itu katanya, di Sandakan, bagi Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, KKM telah membuat sebanyak 1,743 saringan dan sehingga 17 November 2020 masih terdapat 141 kes aktif direkodkan manakala 203 sampel saringan lagi masih menunggu keputusan.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan selama 14 hari lagi bermula 20 November 2020 hingga 3 Disember 2020,” jelasnya. – K! ONLINE