fbpx

Spurs tidak cuak bedilan The Gunners

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POSTECOGLOU akan pastikan Spurs bermain seperti biasa dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gol The Gunners malam ini.

LONDON – Tottenham Hotspur tidak akan bermain menggunakan taktik bertahan menjelang derbi Utara London menentang Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emira­tes malam ini.

Spurs yang masih belum mencatat kekalahan dalam saingan Liga Perdana musim ini sedia untuk bermain seperti biasa dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gol The Gunners.

Pengurus Spurs, Ange Postecoglou menegaskan, keputusan perlawanan bukan menjadi ke­utamaan memandangkan beliau lebih mementingkan taktikal serta corak permainan yang ditampilkan barisan pemainnya nanti.

“Kami sudah bermain lima perlawanan sebelum ini, namun saya faham mengapa semua orang anggap aksi menentang Arsenal sebagai ujian sebenar Spurs. Jika menang, kami berada di landasan tepat, namun sekiranya tewas, masih banyak kerja perlu dilakukan.

“Apa yang paling penting untuk saya adalah bagaimana kami boleh terjemahkan falsafah bola sepak pasukan dalam perlawanan besar seperti ini. Aksi menentang Arsenal boleh menjadi kayu ukur untuk kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, perubahan yang mahu dibawa dalam pasukan tersebut bukan sahaja untuk memastikan corak permainan yang menarik, malah boleh menjamin tiga mata setiap kali masuk ke padang.

“Taktikal yang diterapkan bertujuan memastikan pasukan ini berjaya. Saya sentiasa beritahu, falsafah bola sepak saya bukan hanya mementingkan aksi menghiburkan semata-mata tetapi turut mahu menjamin kemenangan,” ujar Postecoglou. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI