KUALA TERENGGANU – BIARPUN gagal menaiki podium namun pujian harus diberikan kepada pelumba negara, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil selepas berjaya menamatkan saingan tempat keempat pada perlumbaan Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di Terengganu, hari ini.
Pelumba kelahiran Batu Pahat tersebut yang menyarung jersi kebangsaan pada saingan LTdL edisi ke-27 itu menampilkan persembahan memukau sepanjang perlumbaan dari Kerteh ke Kuala Terengganu apabila hampir mengatasi pasukan berstatus WorldTeam dan ProTeam.
Bagaimanapun, henjutan 200 meter terakhir yang dilakukan Izzat Hilmi belum cukup untuk mengatasi jaguh pecut pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn yang pertama melintasi garisan penamat di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu hari ini.
Menamatkan saingan di tempat kedua adalah pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes manakala Gleb Syritsa (Astana Qazaqsthan Team di tempat ketiga.
“Sebenarnya sasaran saya lebih tinggi dalam perlumbaan pembukaan ini kerana kalau boleh saya mahu berada di podium. Pada saingan tersebut, pada 200 meter terakhir saya sedikit terkeluar lebih awal dan di situ tenaga saya mula berkurangan.
“Mungkin sebab itu saya tidak mampu untuk kekalkan tenaga saya untuk mengejar pelumba hadapan saya. Apapun, saya gembira dengan keputusan hari ini dan mungkin hari ini rezeki saya dapat tempat keempat.
“Apapun, syukur Alhamdulilah keputusan hari ini adalah permulaan terbaik bagi saya dan juga buat pasukan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zariff menepati ramalan apabila berjaya menyarung Jersi Merah selaku Raja Bukit pada Peringkat 1 LTdL
Aiman yang berada dalam misi mempertahankan gelaran Raja Bukit keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut berjaya menjadi pelumba pertama melintasi zon pendakian di Jerangau di kilometer 95.9km tatkala pelumba Thailand Continental Cycling Team, Sarawut Sirironnachai di kedudukan kedua.
Ia membolehkan Aiman meraih dua mata sebelum menambah satu lagi mata di zon pendakian kedua di Sekayu (113.3 km) selepas menjadi pelumba kedua tiba di belakang, Tegshbayar Batsaikhan (Roojai Online Insurance). -KOSMO! ONLINE