KUALA TERENGGANU – Saya akan berhati-hati agar tidak melakukan sebarang kesilapan, demikian tegas pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Saleh yang dibatalkan penyertaan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) musim lalu.
Pakar pecut pasukan TSG tersebut dikesan melakukan kesilapan berpaut kepada kenderaan ketika Peringkat 5 dari Kuala Kangsar ke Kulim sekali gus tersingkir untuk sertai baki tiga perlumbaan.
Juster, Harrif sudah mengambil iktibar susulan kejadian itu dan akan lebih berhati-hati bagi mengharungi saingan pada penyertaan kali ke-14 beliau di LTdL kali ini.
“Bagi saya sendiri, kalau kena dekat kita (kesalahan) kita kena terimalah walaupun saya rasa perkara itu bukan apa-apa pun.
“Tetapi apabila orang tahu dan video sudah tersebar mana-mana platform saya kena berjaga-jagalah.
“Lagi pun saya sudah berlatih dengan penuh gigih, jadi (selepas ini) saya kena berhati-hati dan saya juga tak nak lagi apa-apa berlaku,” kata Harrif kita ditemui di Terengganu semalam.
Pada edisi kali ini, pelumba berusia 35 tahun itu bertekad memberikan yang terbaik untuk memastikan dia mampu
berada kembali di podium selepas diperkuatkan pelumba berpengalaman.
Sejak penyertaannya di LTdL pada 2008, Harrif pernah meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan iaitu pada Peringkat 2 pada musim 2019 dan di Peringkat 2 dan 5 bagi kempen 2020, sekali gus menjadi antara pelumba tempatan yang paling berjaya dalam saingan berprestij berkenaan.
“Kita ramai pelumba muda berbakat. Seperti saya sendiri, saya naik secara perlahan-lahan. Jadi memang rakan sepasukan itu penting. Saya beruntung kerana mempunyai Youcef Reguigui dan Jeroen (Meijers).
“Pasukan mempunyai ‘set up’ yang seimbang dan kami juga ada pakar pendakian, domestik, pendahulu, jadi memang dalam pasukan itu bukan saya seorang sahaja, ada rakan sepasukan yang sanggup berkorban (berjuang secara sepasukan).
“Seperti saya sendiri, bukan saya yang menang, rakan sepasukanlah yang banyak membantu sebenarnya,” kata Harrif.
Saingan LTdL 2023 membuka tirainya dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer (km), membabitkan tiga zon pecutan iaitu di Dungun, Ajil dan Tok Jamal serta dua zon pendakian di Jerangau dan Sekayu.