TIDAK gentar dengan ugutan apatah lagi kecaman dalam misi membantu golongan teraniaya, penyanyi rap juga aktivis kemanusiaan Carprice berpegang prinsip berani kerana benar.
Sedang lantang bersuara bagi membantu pensohor media sosial Indonesia, Mondy Tattoo yang terkait kes gangguan seksual, tegas Caprice perjuangannya bukan untuk wanita itu sahaja.
Seperti ditegaskan dalam setiap perkongsian video menerusi Instagram mahu pun podcast yang menjadi saluran bersuara, keadilan tidak perlu diukur kepada status individu.
Tidak lawan kerja Tuhan
Sebaliknya pihak yang menjadi mangsa atau teraniaya, terutama membabitkan isu taboo seperti gangguan seksual perlu mendapat pembelaan sewajarnya.
“Saya berjuang bukan untuk Mondy saja kerana sebelum ini pasukan saya telah menerima banyak laporan berkaitan kes sama.
“Perkara yang menjadi tumpuan ramai ini juga bukan atas kepentingan peribada atau cubaan menjatuhkan orang lain.
“Jika kita punya bukti, tidak perlu takut untuk bersuara kerana si pelaku perlu berdepan hukuman atas perilakunya. Negara kita ada undang-undang,” tegas Caprice.
Tidak lut kecaman, Caprice juga tidak melihat pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO) dinamakan Munafik Hunter yang baru ditubuhkannya sebagai cubaan mengatasi kerja Tuhan seperti didakwa segelintir pihak.
5,000 sukarelawan
Baru beroperasi sejak Isnin lalu, sehingga kini badan berkenaan telah meraih perhatian lebih 5,000 penyokong yang bersedia menjadi sukarelawan.
“Dalam tempoh tiga hari pihak kami menerima sebanyak 1,000 aduan berhubung salah laku penganiayaan seksual yang menunjukkan ramai mangsa sebenarnya.
“Munafik Hunter bukan mahu menjalankan tugas polis atau melawan kerja Allah, tetapi lebih kepada membantu insan memerlukan yang mungkin takut untuk terus merujuk kes mereka kepada pihak berkuasa.
“Ketika ramai mengecam penubuhan NGO ini, sebilangan besar masyarakat menunjukkan sokongan dengan sedia menjadi sukarelawan.
“Jika dikata nama pemburu individu munafik itu dianggap keterlaluan, dari segi ranking golongan ini sememangnya berada di tahap terbawah penjahat yang perlu diheret ke muka pengadilan,” ulas penceramah motivasi itu lagi.
Ditanya mengenai perkembangan laporan polis yang dibuat sebelum mendedahkan video dakwaan gangguan seksual pendakwah tersohor Ustaz Ebit Lew terhadap Mondy tular, katanya perkara itu diserahkan kepada pihak polis.
Bagi pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu, dia, Mondy serta beberapa petugas yang mengendalikan isu wanita terbabit sudah selesai memberikan keterangan atas laporan polis dibuat pendakwah terbabit.
“Kami sudah memberikan keterangan selama enam jam di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor tempoh hari.
“Mengenai laporan polis yang kami buat pula, kami hanya menunggu susulan tetapi segala bukti sudah diserahkan kepada pihak berkuasa,” ulasnya lagi.
Caprice turut mengesahkan polis menasihatkannya supaya tidak menyiarkan dua lagi video wawancara bersama Mondy membabitkan isu wanita berusia 20an itu bagi melancarkan siasatan.
Pada 11 September lalu tular dalam media sosial berhubung dakwaan wanita itu diganggu Ebit Lew ketika pertama kali dibawa ke negara ini sekitar pertengahan tahun ini yang disiarkan menerusi program podcast kendalian Caprice.
Susulan itu, pendakwah terbabit membuat laporan polis atas fitnah dilemparkan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, pada 18 September lalu.
Isu membabitkan ketiga-tiga pihak ini meraih perhatian netizen yang memberikan pelbagai komen dalam media sosial.