fbpx

Yayasan Tunku Abdul Rahman komited bantu pelajar miskin cemerlang lanjut pengajian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara penerima biasiswa YTAR pada sambutan ulang tahun penubuhan YTAR di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM7.6 juta biasiswa dan tajaan program dirasmikan menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dengan lapan organisasi yang menyasarkan pelajar kurang berkemampuan.

Biasiswa dan tajaan program itu membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke universiti yang mana selama 57 tahun, yayasan itu telah membantu lebih 9,000 belia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang juga Pengerusi YTAR berkata, dalam masa sama, yayasan tersebut menyasarkan untuk membantu lebih 1,000 pelajar bagi tempoh lima tahun akan datang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi seterusnya menjadi pemimpin muda.

“Bagi mencapai wawasan Tunku untuk Malaysia yang bersatu, kita mesti menangani cabaran yang menghalang wawasan ini daripada direalisasikan, iaitu jurang kelas sosio-ekonomi dan jurang bandar dan luar bandar.

“Melalui strategi baharu YTAR, ia merupakan potensi besar untuk menangani cabaran ini dengan mengutamakan akses pendidikan tinggi dan memupuk pembangunan kepimpinan sebagai pemangkin mobiliti sosial dan transformasi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman ucapan ditayangkan pada sambutan ulang tahun 57 tahun penubuhan YTAR di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aaron berkata, YTAR mengalu-alukan syarikat dan individu untuk merealisasikan aspirasi dengan menaja Biasiswa Tunku Abdul Rahman
2024 atau membiayai program 2024 Closing The Gap.

“Kita juga menjemput individu dan syarikat korporat untuk meneroka pelbagai lagi perkongsian dan sokongan terhadap fokus strategi kita. Yayasan ini terbuka kepada perbincangan dan potensi yang terbuka luas,” ujarnya.

Sementara itu, MOU bersama lapan penaja utama tersebut antaranya dengan Yayasan OSK bagi program Closing The Gap.

Untuk Biasiswa Tunku Abdul Rahman pula melibatkan MOU bersama Asia Philanthropy Circle, AHAM Asset Management Berhad, Yayasan Universiti Teknologi PETRONAS,
Heriot-Watt University Malaysia, University of Nottingham Malaysia dan Yayasan Universiti Multimedia.

Seterusnya ialah program FutureReady iaitu MOU bersama Accenture Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI