BERA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Jambatan Guai, di Kampung Seberang Guai di sini hari ini.
Seri Paduka Baginda juga berkenan jambatan yang merentangi Sungai Pahang sepanjang 770 meter dengan lebar 12.5 meter yang bernilai RM98.5 juta itu dinamakan sebagai Jambatan Al-Sultan Abdullah.
Al-Sultan Abdullah bertitah, dengan pembinaan jambatan tersebut, bukan sahaja menjadi penghubung dua tebing perairan atau pengukuh silaturahim, malah sebagai simbol membawa kemajuan ke kawasan yang dihubungkan.
“Dengan terbinanya jambatan ini, kita dapat menuju ke Chenor dan di sana juga ada satu jambatan besar tetapi sedih sedikit (kerana) di Chenor dan kawasan sekitarnya seperti Kampung Nyak dan Kampung Pesagi tidak dapat dimajukan dengan pantas.
“Namun harap harap, dengan adanya jambatan (baru) ini, akan ada sedikit paradigma baru. Adakan usaha dan program, tentukan setiap kemudahan asas mencukupi dan ada kemudahan yang boleh menggalakkan kegiatan (seperti) pertanian. Kalau ini dapat diusahakan, Insya-Allah setiap kampung dapat dimajukan,”titah baginda semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Jambatan Guai di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu Seri Paduka Baginda turut menitahkan supaya pembinaan jambatan baharu Temerloh dekat sini yang sedang berjalan dapat disiapkan secepat mungkin bagi mengatasi kesesakan Jambatan Sultan Ahmad Shah.
Baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam pembinaan Jambatan Guai, yang siap pada 30 November 2021 dengan kelulusan projek diperoleh pada 2016 menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). – KOSMO! ONLINE