PORT DICKSON – Seorang bekas pekerja pengemasan bilik hotel dipilih sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik Lelaki dpada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki 197/23 dan Wanita Siri 48/23 yang berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini hari ini.
Perajurit Muda, Faddry Izhan Norhan, 21, yang berasal dari Keningau, Sabah itu memberitahu, sebelum ini dia bekerja di sebuah hotel di Tuaran, Sabah selepas tamat mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya memohon untuk memasuki tentera kerana minat dan juga atas dorongan ibu bapa, sebelum ini saya hanya bekerja sebagai pengemas hotel dan telah memohon sebanyak dua kali untuk memasuki latihan perajurit muda ini.
“Perasaan saya ketika ini memang gembira kerana dapat meraih anugerah selain dapat membanggakan kedua ibu bapa saya. Selepas ini saya akan ditempatkan di Kor Askar Melayu dan mempunyai hasrat untuk memasuki Unit Gerak Khas Komandi nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sementara itu, Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik Wanita pula menjadi milik Perajurit Muda, Nur Faraain Md., 21, dari Bentong, Pahang.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur menerima anugerah ini. Saya memasuki tentera kerana sudah diberi pendedahan sejak kecil lagi oleh bapa saya, Md. Md. Said yang merupakan Koperal Bersara pada tahun 2006 di Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong, Pahang.
“Selain itu, ketiga-tiga abang saya juga merupakan anggota tentera di Kem 16 Melayu, Kem 10 Melayu manakala seorang lagi merupakan askar Wataniah,” jelasnya.
Seramai 1,013 perajurit muda yang terdiri daripada 661 orang lelaki dan 352 wanita telah berjaya menamatkan latihan bagi pengambilan kali ini. – KOSMO! ONLINE