KLANG – Polis akan merakam percakapan seorang ustazah yang dikatakan menampar seorang murid tahun satu sehingga bengkak di sebuah sekolah, di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ini selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 42 tahun pada pukul 6 petang, Isnin lalu.
Katanya, rakaman keterangan juga akan dibuat terhadap saksi-saksi kejadian yang boleh membantu kejadian.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya hari ini.
Beliau memberitahu, berdasarkan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 petang ketika mangsa dan rakan sekelasnya berada di dewan sekolah sebelum pulang ke rumah setelah selesai acara sukan.
Hoong Fong menambah, guru Pendidikan Islam tersebut menanyakan kepada semua pelajar berkenaan surat pemberitahuan hari sukan yang telah diberikan.
“Mangsa telah menyatakan surat itu hilang dan dipercayai dicuri oleh rakannya.
“Bagaimanapun, sewaktu menjalankan siasatan didapati surat itu tidak hilang dan berada dalam beg murid tersebut,” katanya.
Jelas beliau, ini membuat guru wanita itu telah menegur murid tersebut agar tidak menuduh orang lain tanpa bukti kukuh lalu menampar pipi kirinya sehingga menyebabkan berlaku sedikit bengkak dan kemerahan,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan gara-gara berang tidak menjumpai surat yang dikehendaki, seorang murid tahun satu mendakwa telah ditampar di pipi kirinya oleh guru dalam satu kejadian di sebuah sekolah di Klang
Menurut perkongsian sepupu kanak-kanak malang itu, keluarganya kecewa dengan tindakan yang diambil guru tersebut yang dilihat tidak munasabah sehingga mendatangkan mudarat.
KOSMO!ONLINE