PETALING JAYA- Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap selepas pergerakan mereka dikesan dron yang dioperasikan oleh dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Tentera Darat.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Pasukan Tindak Cepat diatur gerak untuk membuat penjejakan hasil maklumat Tim Dron BSPP yang mengesan pergerakan mencurigakan di Ladang Kurnia, Bandar Penawar di Kota Tinggi, Johor pukul 4.30 pagi tadi.
“Serbuan dilakukan pada pukul 4.30 pagi telah berjaya menahan 17 PATI Indonesia terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia sekitar 19 hingga 43 tahun yang baru tiba dari Indonesia.
“Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM 8,470 melibatkan wang tunai RM 1,328 dan 7,009,000 Rupiah (RM 2,043) bersama 14 telefon bimbit dan tiga utas jam tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia. Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. -K! ONLINE