KUALA LUMPUR – Proses pemulihan ekonomi negara bagi pasca Covid-19 bergantung kepada kestabilan politik.
Mantan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kelebihan Malaysia sebelum ini bergantung kepad asas ekonomi makro dan mikro selain disokong oleh politik negara yang stabil tanpa mengubah dasar atau polisi.
Menurut ahli perniagaan itu, ketidaktentuan dalam pelaksanaan dasar negara, misalnya pertukaran semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah mengakibatkan ramai pelabur luar kini ragu-ragu untuk menjalankan perniagaan di sini.
“Sehubungan itu, untuk membangunkan ekonomi negara, perkara nombor
satu yang perlu diambil kira ialah berhubung kestabilan politik.
“Kalau hanya ada kelebihan satu atau dua (kerusi dalam parlimen) maka susahlah untuk menarik pelabur datang ke Malaysia.
“Mereka merasakan satu-satu polisi yang begitu sukar untuk dilaksanakan sebelum ini ditukar dengan begitu cepat.
“Kita perlu menghantar mesej yang jelas kepada rakyat dan pelabur asing bahawa kerajaan boleh mentadbir dengan baik dan negara aman damai, jadi kita boleh mula mengeluarkan produk serta mencipta pekerjaan dengan bantuan kedua belah pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Bicara Eksklusif sempena pelancaran akhbar Utusan dan Kosmo! secara online Sabtu lalu.
Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu menjelaskan, kerajaan perlu berbelanja secara berhemah dalam pelan pemulihan ekonomi yang bakal dibentangkan pada Oktober ini selain Bajet 2021 pada November.
“Kuasa kerajaan untuk berbelanja banyak berkurang akibat pertambahan hutang ketara zaman pemerintahan Pakatan Harapan, namun kita tak nampak keberkesanannya (wang yang dibelanjakan) dalam pembangunan ekonomi.
“Apabila musim Covid-19 kekuatan negara untuk berhutang pun menurun kerana pendapatan terjejas.
“Kerajaan perlu fokus kepada sektor yang mampu membawa efek berganda kepada ekonomi Malaysia,” katanya. -K! ONLINE