KUANTAN – Seorang pekerja ladang didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Khas Trafik, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan teman wanitanya.
Muhammad Haikal Azmi, 22, membuat pengakuan tersebut sejurus tuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya.
Majistret Fatimah Abu Bakar juga mengarahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 1 September lalu kira-kira pukul 12.30 tengah hari di hadapan sebuah rumah di Perumahan Makmur Hijrah, di sini.
Tertuduh didakwa secara sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara menumbuk mangsa menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian atas lengan kiri teman wanitanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Noraini Mohd Nor.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan nasib seorang gadis tidak ubah seperti ‘karung tinju’ apabila dibelasah teman lelakinya sehingga pengsan hanya kerana dia gagal menggugurkan kandungannya yang berusia dua bulan.
Episod ngeri mangsa yang berusia 22 tahun itu bermula apabila suspek mendapat tahu dia berbadan dua pada bulan lalu.
Akibat kejadian mangsa mengalami sakit di bahagian badan dan berasa trauma sehingga kini.- KOSMO! ONLINE