KANGAR – Tindakan pasangan suami isteri etnik Rohingya menjalankan sindiket pemalsuan surat pertimbangan permohonan kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dengan berselindung di sebuah madrasah al-Quran terbongkar selepas diserbu penguatkuasa Imigresen di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 10 pagi itu, seramai 35 pegawai dan anggota Imigresen negeri telah mengadakan satu Ops Serkap di sebuah kawasan di Kampung Permatang Pasir, Simpang Empat di sini setelah menerima maklumat awam.
Pengarah Imigresen negeri, Khairul Amin Talib berkata, hasil pemeriksaan mendapati salah sebuah daripada tujuh buah rumah yang dijadikan madrasah untuk mengajar al-Quran kanak-kanak etnik Rohingya.
“Rumah tersebut merupakan lokasi untuk suspek menjalankan aktiviti pemalsuan surat dalam proses pertimbangan UNHCR dan semakan dengan pejabat suruhanjaya itu mendapati ianya adalah palsu.
“Modus operandi suspek bermula apabila suspek utama menerima permohonan melalui aplikasi media sosial ataupun pemohon hadir sendiri untuk mendapatkan surat pertimbangan UNHCR.
“Setelah lengkap, suspek akan memuat naik dokumen tersebut dalam format PDF melalui aplikasi Whatsapp atau lain-lain aplikasi dan dicetak oleh pemohon sendiri dengan dikenakan bayaran sebanyak RM50 seorang,” katanya semasa sidang akhbar di pejabat Imigresen negeri hari ini.
Menurut Khairul Amin lagi, hasil semakan di dalam komputer riba milik suspek mendapati seramai 200 orang etnik Rohingya telah dikeluarkan dokumen palsu tersebut dan terdapat permohonan untuk kegunaan luar daripada negeri Perlis.
“Selain itu juga, pasukan operasi turut menemui sijil-sijil kahwin yang disyaki palsu untuk kegunaan pasangan etnik Rohingya yang turut
disediakan oleh suspek utama kes ini selain suspek sendiri turut menerima upah menjadi kadi pernikahan.
“Susulan itu, pihak imigresen menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang menjadi dalang utama sindiket dan isterinya berusia 24 tahun kerana memasuki Malaysia tanpa permit yang sah,” jelasnya.
Tambah Khairul Amin lagi, suspek utama disiasat di bawah Seksyen 56(1A) (b) Akta Imigresen 1959/63 manakala isterinya Seksyen 6(1) (c ) akta sama dan kedua suspek direman selama dua minggu bermula semalam.
Katanya, siasatan lanjut mendapati rumah yang didiami oleh suspek utama disewa dengan
bayaran bulanan RM600 dan dibayar oleh komuniti Rohingya.
Pihak imigresen turut merampas dua komputer riba, dua telefon bimbit, satu tablet, satu pemacu kilat, satu kad memori, buku rekod pelajar dan bayaran proses UNHCR, wang tunai RM5,300, beberapa salinan cetakan surat dalam proses pertimbangan UNHCR dan salinan sijil kahwin Rohingya Malaysia.