fbpx

Bekalan beras putih di Selangor cukup hingga hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin melancarkan logo baharu PKPS di Shah Alam, petang ini. Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED/KOSMO!

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memberi jaminan bekalan beras putih tempatan (BPT) di negeri ini akan mencukupi sehingga hujung tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan perkara itu bagi mengelak pembelian panik pengguna yang bimbang kekurangan bekalan beras berkenaan.

Jelas beliau, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam memanggil Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor (KSPDS) bagi membincangkan isu tersebut.

“Kita dimaklumkan bahawa keperluan dan penggunaan beras bagi rakyat Selangor berjumlah lebih 45,000 tan metrik setahun.

“Namun, bekalan sedia ada dimiliki kerajaan negeri masih berbaki 20,000 tan sekali gus mencukupi hingga tahun ini malah sehingga tempoh enam bulan lagi,” katanya selepas melancarkan logo baharu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Apresiasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di sini, petang ini.

Menurut Amirudin, bekalan itu tidak termasuk stok imbalan yang masih dimiliki kerajaan Selangor.

“KSPDS juga memberi jaminan bahawa bekalan tambahan beras juga akan diperoleh berikutan musim tuaian padi di utara Semenanjung dan Selangor bermula hujung bulan ini.

“Selain itu, kita sudah melaksanakan penjualan khas beras menerusi program JER dengan harga murah dan berpatutan selain bercadang membeli beras import dan menjualnya pada harga lebih murah sekiranya diperlukan kelak,” katanya.

Amirudin menjelaskan kapasiti pengeluaran beras Selangor mencecah 139,000 tan metrik setahun namun jumlah itu menurun kepada 75,000 tan tahun lalu kerana faktor cuaca dan penyakit padi.

“Rakyat tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri komited mengambil tindakan drastik bagi mengatasi aduan bekalan beras putih tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, rakyat negeri ini boleh membeli beras lima kilogram (kg) dengan harga serendah RM13.

Beras itu akan dijual tujuh lokasi iaitu outlet Wisma PKPS, Seksyen 14, Shah Alam; outlet Ehsan PKPS, Seksyen 9, Shah Alam; outlet Ehsan PKPS, Meru; Kiosk Ehsan, Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya dan tiga lori jualan bergerak Ehsan PKPS yang akan berada di sekitar Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI