BANGKOK, Thailand – Seorang pemilik kediaman memberi amaran kepada penduduk daerah Ao Luek, wilayah Krabi selepas seorang wanita memecah masuk ke dalam rumahnya dan menanggalkan semua pakaian sebelum menonton televisyen, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Dalam satu rakaman video, pemilik rumah yang merupakan seorang wanita berusia 47 tahun bernama Romla Saiwaree dilihat memasuki kediamannya bersama seorang lelaki.
Mereka menemui wanita itu hanya memakai tuala sedang terbaring di atas sofa panjang sambil menonton televisyen.
Apabila melihat mereka, dia hanya kembali menonton televisyen, menyebabkan Romla terpaksa meminta pertolongan jiran-jiran untuk menghalau penceroboh itu.
Katanya, pakaian penceroboh tersebut berada di atas lantai.
Pemilik rumah itu kemudian mengusirnya. Wanita tersebut akhirnya meninggalkan kediaman berkenaan dalam keadaan marah sebelum dia membuat laporan polis.
Polis kemudian menyatakan, penceroboh bukannya penduduk setempat tetapi mengesahkan bahawa dia mengalami sakit mental. – Agensi