fbpx

Stok beras tempatan ditambah, elak kekecohan berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad ( dua kanan) menunjukkan beras yang dihantar ke Agrobazar Kedai Rakyat Jalan Kebun Seksyen 30, Shah Alam. Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengarahkan bekalan beras putih tempatan (BPT) segera dihantar ke outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan segera akan dilakukan bersama pengilang dan pemborong bagi mengelakkan kekecohan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datoh, Perak yang berlaku semalam, tidak berulang lagi.

Katanya, arahan turut dikeluarkan bekalan BPT segera dihantar ke semua pasaraya supaya orang ramai tidak hanya tertumpu kepada outlet FAMA dan LPP.

“Kekecohan berlaku disebabkan oleh stok yang sampai ke outlet tersebut tidak mencukupi.

“Ini seterusnya menyebabkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati kerana telah menunggu lama,” katanya ketika lawatan kerja pelan intervensi pengedaran BPT di Seksyen 30, hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan, penularan video berdurasi satu minit 17 saat yang memaparkan tindakan beberapa individu mengamuk kerana tidak dapat membeli BPT di outlet FAMA Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Mohamad menjelaskan, FAMA telah mengedarkan 244 metrik tan BPT ke seluruh negara menerusi outlet usahawan bimbingannya setakat ini.

Tambah beliau, orang ramai turut dinasihatkan supaya membeli beras mengikut keperluan dan tidak menyimpan stok supaya lebih ramai pengguna dapat membeli BPT.

“Saya dimaklumkan semalam ada pembeli yang menggunakan empat orang berbeza untuk membeli sehingga lapan kampit BPT 10 kilogram sedangkan dua kampit 10 kilogram sudah cukup untuk kegunaan dirinya sekeluarga.

“Jangan khuatir kerana dari semasa ke semasa, stok BPT akan dihantar ke pasar raya dan bekalan dijangka kembali stabil dalam beberapa minggu lagi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan agar para peniaga kecil-kecilan seperti penjual nasi lemak dan pengusaha kantin serta pengusaha pusat tahfiz supaya berhubung dengan FAMA dan LPP bagi menempah bekalan BPT yang diperlukan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI