PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan sisatan susulan dakwaan rasuah membabitkan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin.
Gesaan itu dibuat UMNO Wilayah Persekutuan, hari ini, susulan dakwaan kononnya Ahli Parlimen Putrajaya itu terbabit dalam pemberian kontrak penyelenggaran sekolah dan pencetakan buku J-Qaf.
Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Ghulam Mustakim berkata, pihaknya menerima dua mesej yang tular di aplikasi WhatsApp pada dua hari lalu mengaitkan Radzi dengan beberapa individu berkait pemberian kontrak itu.
Beliau berkata, mesej pertama mengaitkan Radzi dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama dikenali sebagai Datuk Chia yang didakwa membolot projek selenggara sekolah.
“Kami difahamkan individu ini juga adalah kartel dan modus operandinya dengan pergi ke sekolah berstatus Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan menawarkan peruntukan ke sekolah secara terus dari Kementerian Pendidikan atau Pejabat Pendidikan Daerah.
“Dakwaan ini telah menjadi satu polemik dan kita ingin buat laporan atas dasar kebenaran dan isi kandungan yang ditularkan itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan kepada SPRM, di sini hari ini.
Radzi dilantik sebagai Menteri Kanan Pendidikan pada Mac 2020 dalam kerajaan yang ditabdir Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika itu.
Dalam pada itu, Ghulam Muzaffar yang juga Ketua Umno Bahagian Batu berkata, satu lagi mesej tular di WhatsApp dikatakan mengaitkan Radzi dengan pemberian kontrak secara terus bagi percetakan buku J-Qaf untuk pra sekolah kepada individu dengan gelaran ‘Tengku’.
Menurutnya, pihaknya turut membuat carian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati syarikat yang dinamakan dalam mesej terbabit wujud. – KOSMO! ONLINE