SHAH ALAM – Catuan beras dikenakan kepada peniaga dan pemilik restoran dalam memastikan keterjaminan bekalan itu di pasaran negara, bermula awal bulan ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, para peniaga hanya dibenarkan membeli 10 beras tempatan di sesebuah pasar raya besar.
Katanya, pemilik restoran pula hanya membeli beras import pada harga borong selepas perbincangan dilakukan bersama pemborong dengan campur tangan kerajaan..
“Ini bagi memastikan pemilik restoran ini kurang membeli beras tempatan yang kini menjadi pilihan pengguna susulan harganya yang murah iaitu RM26 bagi 10 kilogram berbanding RM36 bagi beras import.
“Ini disebabkan beras tempatan kalau keadaan biasa mencukupi melainkan kalau restoran besar membeli beras tempatan dalam kuantiti besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja pelan intervensi pengedaran beras putih tempatan (BPT) di Seksyen 30, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan dilakukan kementeriannya susulan pembelian panik semua pihak ketika ini.
Mohamad Sabu menjelaskan, tidak timbul isu sorok bekalan seperti didakwa segelintir pihak sebagai tindakan menaikkan harga beras.
“Cakap-cakap itu ada namun buktinya tiada. Ini seperti dalam isu penukaran kampit beg beras. Kalau ada maklumat beritahu.
“Setakat ini, hanya khabar angin yang tidak kita temui dari sudut rasminya (kesahihan),” katanya.
Ketika ditanya cadangan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diberikan kuasa lebih luas dalam penguatkuasaan dalam hal berkaitan beras, Mohamad menegaskan, perkara itu memerlukan perbincangan yang lanjut.
“Bahkan, kalau sudah sampai peringkat runcing mungkin kita akan melibatkan Polis Diraja Malaysia. Namun, (masalah beras) belum peringkat tersebut.
“Insya-Allah, bila berlaku tuaian padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang sekarang ini sudah 20 peratus dan kita jangka beras tempatan akan berada sebaiknya di pasaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE