GEORGE TOWN – Anak jati Pulau Pinang, S.Christopher, 30, menjadi wakil tunggal Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke Athletics Road Running World Championship, di Latvia pada 1 Oktober depan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Christopher merupakan atlet acara larian dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penang Forward Sports Club dan dia berjaya mencatatkan masa 1 jam 9 minit dalam acara Half Marathon 21 kilometer di Gold Coast Marathon pada 30 Jun lalu.
“Kejayaan ini telah melayakkan Christopher menyertai Athletics Road Running World Championship dengan masa rujukan kelayakan adalah di bawah 1 jam 10 minit.
“Sebagai anak jati Pulau Pinang, kejayaan Christopher wajar dibanggakan yang kerana dia hanya merupakan pelari amatur dan bukannya profesional yang berlari sepenuh masa dalam pasukan kebangsaan,” katanya, di sini hari ini.
Menurutnya, disebabkan Christopher bukan pelari berdaftar dari pasukan kebangsaan negara, maka dia menghadapi beberapa kesukaran termasuk pada aspek kewangan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.
“Dengan ini, bagi pihak kerajaan negeri saya mengucapkan terima kasih kepada Penasihat Penang Forward Sport Club, Datuk Tom Khoo yang telah bersetuju menaja dan membiayai segala perbelanjaan Christopher yang keseluruhan berjumlah RM10,000 meliputi tiket penerbangan, penginapan dan lain-lain.
“Bagi pihak kerajaan negeri kita memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada beliau dan berharap Christopher dapat mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Christopher yang merupakan jurulatih fizikal pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, dia akan berusaha bersungguh-sungguh dalam acara berkenaan memandangkan bukan mudah untuk seseorang itu melayakkan diri ke Athletics Road Running World Championship.
“Saya sangat gembira kerana dapat melayakkan diri ke acara larian peringkat dunia ini dan saya berazam untuk mengharumkan nama negara.
“Saya merupakan wakil tunggal Malaysia ke acara tersebut dan cabaran utama yang akan saya hadapi adalah soal cuaca kerana dijangka saya akan berlari dalam cuaca sejuk,” katanya.
Christopher yang merupakan anak kelahiran Bayan Lepas berkata, dia akan menggunakan acara tersebut sebagai platform untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE