fbpx

Pelajar SMK St. Anthony hasilkan bangku ‘ET Block’ guna bahan terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlam (lima kanan) dan Amer Siddiq (enam kiri) bergambar dengan pasukan dari SMK St. Anthony, Sarikei, Sarawak yang diumumkan johan pada pertandingan 'DIY Made Simple 2023' di UM, hari ini. - Foto FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR – Bangku yang diperbuat daripada barangan terpakai dihasilkan oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony dari Sarikei, Sarawak diumumkan sebagai tempat pertama pada pertandingan ‘DIY Made Simple’, sekali gus membawa pulang wang tunai RM4,000.

Lima pelajar tersebut yang dibimbing dua guru serta mendapat tunjuk ajar pensyarah Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM) menghasilkan tempat duduk dinamakan ‘ET Block’ menerusi pertandingan anjuran MR D.I.Y Group [M] Berhad (MR D.I.Y).

Guru SMK St. Anthony, Dayang Hadzar Abang Solhi berkata, mereka mendapat idea menghasilkan ‘ET Block’ selepas melihat masalah kekurangan tempat duduk untuk menunggu memandangkan jumlah pelajar yang ramai di sekolah itu.

“Kita lihat pelajar ini pakaiannya kotor sepanjang menunggu lama selain berasa sakit belakang. Kita kasihan dan mendapat idea menghasilkan tempat duduk ini menggunakan barangan terpakai sekali gus tiada kos dikeluarkan.

“Barangan ini seperti bekas telur, kayu terpakai dan pelbagai lagi yang dikumpulkan pelajar termasuk sumbangan ibu bapa,” katanya ketika ditemui media pada penyampaian hadiah pertandingan ‘DIY Made Simple’ di UM, di sini hari ini.

Wakil pelajar, Mark Gieg Anak Nebin berkata, dia bersama empat rakan menghasilkan bangku tersebut yang mengambil masa tiga bulan, malah perlu membahagikan masa dengan pelajaran.

“Kami semua pelajar tingkatan lima dan setiap kali tamat kelas tambahan pukul 3 petang, kami perlu menyiapkan ciptaan ini setiap hari sehingga pukul 5 atau 6 petang. Pelbagai cabaran kami tempuhi dan bersyukur apabila akhirnya berjaya memperoleh tempat pertama,” ujarnya.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi MR D.I.Y Group, Datuk Azlam Shah Alias dan Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares), Prof. Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin.

Sementara itu, Azlam berkata, program tersebut merupakan acara tahunan yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu bersama UMCares dan Fakulti Alam Bina serta disokong oleh Kementerian Pendidikan.

“Kali ini sebanyak 439 penyertaan diterima daripada 180 sekolah. Saya lihat perkembangan dari satu tahun ke satu tahun, malah saya kagum dengan inisiatif pelajar bersama guru yang menyertai ‘DIY Made Simple’,” katanya.

Dalam pada itu, SMK Kunak Jaya di Kunak, Sabah, menang tempat kedua dan membawa pulang RM3,000, diikuti Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar di Mersing, Johor di tempat ketiga dengan RM2,000.

SMK Elopura 2 di Sandakan, Sabah pula diumumkan tempat keempat serta membawa pulang RM1,000, manakala SMJK Kwang Hua di Klang, Selangor diumumkan tempat kelima dengan hadiah RM500. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI