PETALING JAYA – “Oh itu tunang saya, kita akan kahwin minggu ini”.
Demikian pengakuan penyanyi Noh Salleh yang memperkenalkan bakal isterinya, Fatin Athirah Mustapa kepada umum buat pertama kali.
Vokalis Hujan itu berkongsi rasa teruja bakal bergelar suami kepada peguam berusia 30 tahun itu menerusi hantaran video yang dikongsi seorang pengguna TikTok.
Menerusi video tersebut, Noh dilihat sempat menunjukkan kehadiran tunangnya sebelum memulakan persembahan dalam sebuah acara.
Lagu Biar Seribu yang ingin disampaikan pada hari itu dianggap sebagai simbolik cinta antara mereka.
“Lagu ini (Biar Seribu) sesuai dengan doa kita sebagai pasangan yang hendak mendirikan sebuah masjid.
“Jadi, mengharapkan 500 orang yang ada dekat sini untuk kami kekal seribu tahun macam lagu ini,” katanya dalam paparan berkenaan.
Video memperlihatkan penyanyi itu membuat pengumuman manis menuju ke gerbang perkahwinan yang hanya beberapa hari lagi mencuri perhatian netizen.
Rata-rata peminat yang singgah ke ruangan komen meluahkan rasa teruja dan mendoakan majlis pernikahan Noh dan pasangannya berjalan lancar.
Noh bakal disatukan dengan Fatin di sebuah dewan acara di Puchong, Selangor 23 September (Sabtu ini).
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pasangan terbabit melangsungkan pertunangan yang diadakan serentak dengan rumah terbuka Syawal pada 7 Mei lalu.
Kad undangan untuk majlis Mohammad Noh Salleh, 38, perkahwinan mereka mula tersebar sejak awal Ogos lalu.
Terdahulu, Noh pernah mendirikan rumah tangga dengan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina pada 2 Julai 2011, namun bercerai pada Ogos lalu.
Mereka juga telah mengambil seorang anak angkat yang diberi nama Musa.- KOSMO! ONLINE