KUALA PILAH – Sepasang suami isteri dijatuhkan hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menganiaya darah daging mereka sendiri dalam kejadian di Bahau, Jempol, baru-baru ini.
Tertuduh, pekerja kilang berusia 27 tahun dan isterinya berusia 31 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Hakim turut menetapkan pasangan tersebut bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan menjalankan khidmat masyarakat selama 80 jam.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya telah menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang di bawah jagaan mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan mulai Mac lalu sehingga 12 September lalu di antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam bertempat di sebuah Rumah Rakyat Jambu Lapan, Bahau, Jempol.
Oleh itu, tertuduh telah kesalahan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada 12 September, pengadu menerima maklumat daripada orang awam terdapat kanak-kanak mengalami luka di badan dan melarikan diri dari rumah.
Pengadu dan anggota telah pergi ke rumah berkenaan dan mendapati mangsa dalam keadaan cedera serta parut di badan. Mangsa di bawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa tinggal bersama bapa dan ibu tiri sejak berusia satu tahun lebih.
Terdahulu, Muhammad Aizat dalam rayuannya mengakui kesilapan yang telah dibuat dan menerima hukuman yang bakal diberikan oleh hakim.
“Saya harap puan hakim ringankan hukuman. Saya masih ada tiga orang anak yang masih kecil dekat luar, saya minta maaf, saya tahu memang saya betul-betul bersalah menjadi seorang suami dan ayah yang terbaik untuk keluarga saya.
“Saya minta maaf pada semua pihak atas kesilapan saya,” katanya kesal.
Sementara itu, Siti Norshakina memohon untuk meringankan hukuman kerana anak-anaknya masih kecil dan memerlukan dia di luar sana. – KOSMO! ONLINE