PUTRAJAYA – Polis mengesahkan dua mangsa yang cedera parah dalam nahas 14 kenderaan di Jalan Persiaran Utara, di sini, pagi semalam dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika ini dua mangsa berkenaan masih dalam pemantauan rapi pihak hospital.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia yang terbabit nahas sama kini sedang direhatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.
“Kami difahamkan, mangsa dikenali sebagai Karli Rastio, 69, mengalami lebam di bahagian paru-paru dan kecederaan organ dalaman. Mangsa dalam keadaan stabil namun direhatkan kerana faktor umur.
“Saya juga difahamkan, pemandu sebuah lori turut dipantau oleh pihak Hospital Serdang kerana mengalami kecederaan di bahagian tengkuk,” katanya.
Sementara itu, A Asmadi berkata, setakat ini, lapan saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.
Menurutnya, siasatan kes akan mengambil kira pelbagai sudut termasuk dari segi teknikal bagi melengkapkan kertas siasatan.
Terdahulu, A Asmadi berkesempatan hadir ke Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya, di sini, pagi ini bagi menyantuni keluarga dan waris dua mangsa yang maut dalam nahas itu. – KOSMO! ONLINE