PORT DICKSON – Seorang penunggang motosikal yang merempuh seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Nor Khairul Azwa Azizi, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Uthman Abd. Ghani.
Majistret turut memerintahkan hukuman tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, bekas pengawal keselamatan itu dengan sengaja telah menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa JPJ daripada menjalankan tugas di lokasi kejadian pada 17 September lalu kira-kira pukul 11 pagi.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu , tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah untuk mengurangkan jumlah hukuman denda kerana dia perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang hamil malah telah diberhentikan kerja oleh majikannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya selain pengajaran kepada orang awam yang lain agar tidak menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas.
Malah, Nadia Ezzati turut memohon mahkamah untuk mengambil kira kecederaan yang dialami oleh anggota JPJ terbabit.
Sebelum ini media melaporkan kejadian seorang penunggang motosikal merempuh seorang anggota penguatkuasa JPJ, Muhammad Nur Hakim Mohd Razip, 29, yang pada ketika itu bertugas dalam operasi sekatan jalan raya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson yang turut tular di media sosial.
Akibat rempuhan itu, anggota JPJ berkenaan kemudian telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed memberitahu, tertuduh turut mempunyai lapan rekod membabitkan dadah dan jenayah, selain tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan tamat tempoh sejak 2012. – KOSMO! ONLINE