KUALA LUMPUR – Pernah menjadi mangsa gangguan seksual ketika awal pembabitan dalam industri seni tanah air, pelakon Nelissa Nizam mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpanya.
Jelas pemilik nama lengkap Nelissa Edreena Nizam, ketika kejadian, dia sebenarnya masih belum memahami rencah dunia seni dan terpaksa menjadi peramah kerana bimbang dicop sombong.
Malangnya, keramahan yang ditunjukkan disalahfaham lelaki gatal.
“Saya sentiasa cuba untuk menjadi seorang yang peramah agar orang senang dengan diri kita. Tapi kadang-kadang kita terlalu baik, orang akan salah erti orang itu.
“Apabila ada individu yang cuba tarik kita, buat sesuatu yang agak melampaui batas, perkara itu buat saya jadi trauma.
“Ketika itu saya masih budak dan mentah, dapat pula orang yang lebih berkuasa dan besar daripada kita, senang sahaja untuk dia ambil kesempatan,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Susulan kejadian tersebut, aktres berusia 25 tahun itu mendedahkan dirinya mengambil masa yang lama untuk benar-benar mendalami watak Saleha yang dilakonkan dalam Siri Astro Original Riot kerana alur cerita tersebut terlalu dekat dengannya.
Ujar Nelissa, apabila dia membaca skrip siri berkenaan, badannya secara automatik menggigil trauma kerana watak tersebut sangat berkaitan dengannya.
“Ini adalah karakter sangat berkaitan dengan diri saya, menggigil ketika baca skrip sebab saya pun pernah kena benda yang sama macam watak tersebut.
“Pengalaman saya sama macam babak yang berlaku dalam kereta yang digambarkan dalam siri berkenaan, macam ‘flashback’ apa yang berlaku pada saya sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sidang media Siri Astro Originol Riot, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pelakon asal Kuala Lumpur itu bersyukur dikelilingi pelakon senior yang sangat membantu selain menghormatinya dirinya sebagai perempuan.
“Syukur pelakon lain seperti abang Rashidi Ishak yang sangat profesional menggalas watknya bahkan dia juga meminta izin untuk menyentuh saya.
“Kami memang ada berbincang dulu teknik, dekat mana mahu pegang dan sebagainya untuk lebih selesa dan tidak berlebihan,” katanya.
Sebelum ini, pelakon Sarimah Ibrahim juga tampil berkongsi dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual ketika awal kemunculannya dalam industri.
Selain Nelissa, Riot membariskan pelakon baharu dan berpengalaman seperti Rashidi Ishak, Che Puan Sarimah, Iedil Dzuhrie Alaudin, Amanda Ang, Sue Tan, Nasir Alaydrus dan ramai lagi – KOSMO! ONLINE