SEPANG – Buat julung kalinya, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkongsi detik cemas misi berbahaya itu demi menyelamatkan mangsa di sana.
Operasi tersebut bahkan hampir meragut nyawa seorang aktivisnya, Azirul Syafiq Sazali ketika bergelut dengan beberapa anggota sindiket jenayah penipuan pekerjaan asing itu.
Bercerita detik-detik menyelamatkan mangsa sindiket penipuan pekerjaan berusia 24 tahun, Azirul Shafiq berkata, sejurus mendapat lokasi sebenar mangsa, dia bergegas masuk ke Myanmar dibantu beberapa askar Thailand yang turut bekerjasama.
“Di sana, saya menghubungi mangsa menerusi mesej Whatsapp dan dia berjaya bolos dari bangunan sindiket itu sebelum kami pergi menyeberangi sungai di sempadan.
“Saya nyaris maut ketika bawa mangsa merentasi sungai cetek merupakan sempadan antara Myanmar dengan Thailand dan pengalaman pahit itu memang cukup ngeri,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam tadi.
Biarpun peristiwa pedih itu hampir mengakibatkan nyawanya melayang, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus membantu mangsa jenayah pemerdagangan terbabit.
Azirul Syafiq berkata, dia agak kecewa berikutan dalang kegiatan haram itu merupakan warga Malaysia dan mangsa diseksa oleh rakyat negara ini yang bersekongkol dengan sindiket itu.
“Perkara ini malahan diakui sendiri ‘orang hubungan’ saya di Myanmar dan situasi ini jadi punca kenapa masih ramai remaja kita boleh terjebak dengan tawaran mereka,” katanya.
Warga Malaysia itu menjadi ejen sindiket yang turut menyediakan tiket penerbangan dan penginapan di Bangkok dengan menjanjikan tawaran pekerjaan di hotel bandar raya ini. – KOSMO! ONLINE